Rakyat Singapura dijangka bersesak ke Malaysia, Jumaat ini

Trafik dijangka akan mengalami kesesakan di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas pada Jumaat, 30 Ogos 2024.
- Advertisement -

SINGAPURA: Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menjangka akan berlaku kesesakan teruk di laluan sempadan antara Singapura dan Malaysia melalui Tambak Johor atau Link Kedua, pada Jumaat (30 Ogos) ini.

Dalam kenyataannya, ICA berkata, trafik dijangka sesak di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas kira-kira selama tiga  jam bermula tarikh tersebut sehingga 8 September, bersempena cuti sekolah bulan September.

“Pelawat dinasihatkan supaya mengambil kira masa menunggu tambahan untuk pelepasan imigresen terutama pada hujung minggu.

- Advertisement -

“Mereka juga harus mematuhi undang-undang trafik, ikuti laluan kenderaan dan bekerjasama dengan pegawai-pegawai di pusat pemeriksaan,” ujar kenyataan itu.

Tambah ICA, lebih sejuta pelawat melalui pusat pemeriksaan berkenaan semasa musim cuti akhir tahun pada 2022, dengan sekitar 361,000 orang menyeberang setiap hari.

Dalam pada itu, ICA juga berkata, aliran trafik melalui pusat pemeriksaan darat kembali ke paras pra-pandemik semasa waktu sibuk, dan ketika kemuncak tempoh Tahun Baru Cina pada 2019 – sebelum penutupan sempadan akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, pihak berkuasa menasihatkan pemandu supaya memeriksa keadaan lalu lintas di kedua-dua pusat pemeriksaan melalui laman OneMotoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

“Mereka juga boleh merujuk Sistem Pemantauan dan Nasihat Ekspreswe yang dipasang di Lebuhraya Bukit Timah dan Lebuhraya Ayer Rajah, sebelum memulakan perjalanan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2024

- Advertisement -