
KUALA TERENGGANU: Semakin ramai anak muda di negeri ini yang mengambil cakna berhubung sekatan bayaran royalti petroleum oleh Kerajaan Pusat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh mengakui berlaku situasi itu apabila berada bersama anak-anak muda.
“Kebiasannya kalau makan sekali dengan orang muda, pertanyaannya lebih kepada sukan atau program orang muda. Tapi kali ni datang soalan berkenaan dengan royalti,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman sosialnya. (Foto atas)
Sebenarnya, ujar beliau semakin kerajaan negeri ditekan dengan isu royalti, maka semakin ramai anak muda yang akan mengambil tahu isu itu.
Ini, tambahnya akan membuatkan mereka lebih teguh untuk bersama PAS di negeri ini.
Katanya, dua atau tiga tahun lepas semasa pertandingan ‘PUBG’ diadakan di Kuala Berang, ada juga anak muda yang bertanya soalan mengenai Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Kita ceritakan secara jelas. Ahli politik tidak perlu ‘spin’ atau maki hamun semasa ceramah untuk dapatkan undi orang muda,” katanya lagi.
Akhirnya, ujar beliau terpulang kepada golongan tersebut untuk menilai dan hasilnya mereka menterjemahkan sendiri semasa membuang undi pada pilihan raya.
Untuk rekod, semua calon PAS yang mewakili Parikatan Nasional menyapu bersih 32 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri ke-15 yang diadakan 12 Ogos 2023.
Begitu juga dengan PRU15 yang berlangsung pada 19 November 2022, kesemua lapan kerusi Parlimen dimenangi calon PAS/PN. – HARAKAHDAILY 27/8/2024











