Andalusia lakar sejarah meterai MoU bersama Saudi Tourism Authority

Ida Riswana (tengah) dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama pihak Saudi Tourism Authority (STA) di Kuala Lumpur pada hari ini, 27 Ogos 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama pihak Saudi Tourism Authority (STA) dalam majlis yang penuh gilang-gemilang di sini, hari ini.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, kolaborasi bersama STA pada kali ini adalah bertindak sebagai penasihat kepada Andalusia dan Wexpress, yang menawarkan perkhidmatan pengiriman barangan ke Arab Saudi dan Malaysia.

- Advertisement -

“Rakyat Malaysia sebenarnya lebih mengenali Arab Saudi sebagai tempat ibadah sahaja, sedangkan di sana ada banyak tempat-tempat pelancongan yang tidak dilawati oleh rakyat Malaysia.

“Jadi pada kali ini, kita mulakan dengan ekspedisi menelusuri sirah, di samping ibadah umrah yang akan dilaksanakan. 

“Tetap ada bahagian ibadah, dan tetap ada bahagian pelancongan yang tidak kita lupakan,” katanya.

Menurut beliau, siri pertama ekspedisi berkenaan yang akan berlangsung pada musim cuti sekolah, iaitu pada 17 hingga 28 Disember depan akan melibatkan perjalanan seperti bermalam selama dua malam di Riyadh, bermalam satu malam di AlUla selain ke Khaibar.

“Banyak sebenarnya peninggalan sejarah Islam terdapat di Khaibar, di samping aktiviti menyeronokkan seperti Desert Safari, camping dan bermalam di padang pasir dan sebagainya.

“Insya-Allah, memang pengalaman ini kali pertama ada di Malaysia. Terima kasih kepada Saudi Tourism Authority kerana mereka yang banyak menyokong dan menasihati kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2024

- Advertisement -