
ALOR SETAR: Isu campur tangan politik ke atas sektor pendidikan yang dinyatakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada ucapan penutup Sidang DUN semalam, adalah tepat dan tiada unsur fitnah kepada mana-mana pihak.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Aizat Zakaria berkata,
sektor pendidikan di negeri ini sememangnya wajar dibersihkan daripada sebarang campur tangan politik kepartian kerana ia memangsakan para guru dan pelajar itu sendiri.
“Tohmahan pimpinan PAN Kedah kononnya, Menteri Besar menyelar penjawat awam adalah tersasar dan tidak benar. Mereka yang sebenarnya tidak memahami maksud sebenar isi kandungan ucapan Menteri Besar itu.
“Malah apa yang disebut semalam bukan tohmahan rambang kepada penjawat awam tetapi gesaan supaya ‘tangan ghaib’ yang mengetuai sektor pendidikan di negeri ini tidak berpencak atas warna politik sehingga menghalang usaha menambah baik sistem pendidikan negeri,” jelas beliau pada kenyataan, hari ini.
Apa yang berlaku sekarang ini ujarnya, sangat terang lagi nyata di mana wakil rakyat khususnya Perikatan Nasional (PN) dilarang masuk ke sekolah, tidak terkecuali Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah sendiri.
“Ada pengetua sekolah yang perlu menghantar surat tunjuk sebab bahkan ada segelintir sekolah yang menghalang terus wakil rakyat PN masuk ke sekolah menyampaikan sumbangan,” tambah beliau.
Berikutan itu pihaknya berpandangan isu ini harus ditangani secara serius tanpa mengira latar belakang warna politik secara profesional.
Kata Aizat lagi, sewajarnya penjawat awam mahupun wakil rakyat harus melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan mengenepikan perbezaan politik yang ada demi memperkasakan agenda pendidikan kepada rakyat.
“Saya difahamkan kerajaan negeri juga sedang dalam rangka untuk membangunkan modul bagi mengatasi masalah keciciran pelajar di negeri ini.
“Tetapi jika institusi sekolah tidak berpartisipasi sepenuhnya kerana ‘arahan atasan’, agenda memperkasa sektor pendidikan di Kedah tidak akan berjaya dilaksanakan secara menyeluruh,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/8/2024











