Kaum hawa didedah bertani sekitar kediaman

- Advertisement -

PASIR PUTIH: Seramai 160 orang yang terdiri dari golongan asnaf, suri rumah, armalah termasuk beliawanis menyertai program bimbingan bertani.

- Advertisement -

Pada masa yang sama, mereka turut menerima sumbangan Kit Dapur Hijau berupa keperluan untuk memulakan tanaman pada majlis di Dewan Majlis Daerah, Pasir Putih, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Agro Makanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, tema Dapur Hijau kali ini
‘Keluarga Bertani Sihat Harmoni’.

Menurutnya, melalui pendekatan ini diharap seisi keluarga dapat bersama-sama dengan aktiviti pertanian di sekitar rumah di samping dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.

“Dengan kaedah pertanian mini garden sekitar rumah ini juga kita ingin memupuk minat para beliawanis melibatkan diri dengan bidang pertanian,” katanya.

Beliau turut berharap, pelancaran Dapur Hijau kali ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai lagi kaum wanita dan muslimat menjadi seorang usahawantani berjaya suatu hari nanti.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri yang juga ADUN Selising, Nor Asilah Mohd Zin dan ADUN Semerak, Nor Sham Sulaiman. – HARAKAHDAILY 27/8/2024

- Advertisement -