Tiga tokoh pencetak generasi merdeka

Tuan Guru Abdul Hadi dan Mahathir merasmikan buku 3R Nasihat Untuk Semua dalam program Bicara Merdeka - Masa Depan Islam dan Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya. Turut hadir ialah Halim Tamuri, Muhammad Khalil dan Syahir Sulaiman.
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini berkongsi pentas mengupas erti merdeka dalam program, Bicara Merdeka: Masa Depan Islam dan Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, merdeka adalah satu kata yang sangat besar dalam hidup mereka meskipun dalam kesempatan yang sangat terbatas.

“Mereka (Tuan Guru Abdul Hadi, Halim dan Mahathir) tetap berdiri gagah dan perkasa di hadapan khalayak ramai menterjemah erti kata Merdeka kepada rakyat Malaysia.

- Advertisement -

“Terlalu banyak yang mereka pelajari. Terlalu banyak yang telah mereka tempuhi. Berdekad-dekad mereka melihat sejarah negara ini tahun demi tahun, krisis demi krisis, perpecahan demi perpecahan, dan kerosakan demi kerosakan. 

“Mereka tahu, andai negara yang merdeka ini jatuh ke tangan pihak yang salah, merdeka hanya tinggal kata yang tidak mempunyai makna.

“Harapan setinggi gunung Everest, kesabaran seteguh banjaran Titiwangsa, tanpa kita sedar sekali lagi mereka mencetak generasi merdeka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zurk, negara mempunyai rakyat yang mana jiwanya sentiasa merdeka meskipun tanah air dijajah dan dijarah hasil buminya hampir lima kurun lamanya. 

“Generasi demi generasi, darah demi darah, pengorbanan demi pengorbanan, namun episod perjuangan tetap berterusan hingga ke hari ini,” ujatnya.

“Islam dan Melayu, jangan sampai cahayanya terpadam, jangan sampai identitinya kelam, jangan sampai hanya tercatat di buku sejarah silam

“Bak kata Snouck Hurgronje, seorang orientalis dari Belanda: ‘Tidak berbahaya sekiranya dibiarkan umat Islam beribadat sahaja, namun sangat bahaya jika mereka berpolitik kembali semula bagi menegakkan kerajaannya’,” jelasnya.

Tambah Zurk, tidak berbahaya jika ulama hanya mengajar agama sahaja tanpa mengajar tentang politik. 

“Adalah sangat berbahaya jika membawa pendekatan untuk kembali semula kepada pemerintahan Khilafah (politik Islam),” kata Zurk.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Yayasan Permata Ummah atas penganjuran program yang sangat berprestij tersebut. 

“Semoga dengan usaha ini, tercatat dalam lakaran sejarah tamadun Islam bahawa Malaysia sentiasa merdeka dan akan terus merdeka! Bangsa kita bangsa merdeka,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

- Advertisement -