
ALOR SETAR: Kerajaan negeri berusaha memenuhi pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam untuk dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur yang berasaskan keperluan sewajarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, antaranya kemudahan lengkap bagi mengelak golongan ekspatriat memilih tinggal di Danok, Thailand.
Menurut beliau, adalah sangat merugikan jika ekspatariat memilih tinggal di Danok dan hanya berulang alik untuk bekerja di SBEZ kerana kekurangan perumahan dan kedai.
“Perkara itu bagi mengelak situasi seperti yang berlaku di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) sebelum ini, apabila kerajaan negeri terlepas pandang soal pembangunan komersial dan kediaman di kawasan itu,” ujarnya.
Dr Haim (PAS-Jitra) berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Ghafar Saad (BERSATU-Guar Chempedak) dalam Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Kata beliau lagi, penting untuk kerajaan negeri menangani isu terbabit dengan memastikan pembangunan infrastruktur strategik di kawasan sekitar Bukit Kayu Hitam dibangunkan segera.
“Pelabur tidak berminat untuk tahu mengenai sentimen dalaman kita, pada mereka adakah terdapat infrastruktur strategik tersedia. Contoh, jejambat di Changlun harus dibangunkan segera dan segala usaha bersama Kerajaan Persekutuan,” ujar beliau.
Dr Haim turut membangkitkan isu trafik yang bermula dari pintu sempadan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bukit Kayu Hitam sehingga ke Lebuh Raya Utara-Selatan.
Jelasnya, perlu diambil perhatian bagi memastikan kenderaan perdagangan dapat bergerak lancar.
SBEZ tegasnya, perlu dibangunkan secara strategik kerana ia menjadi gerbang kepada pasaran Indochina seperti Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Vietnam dan China.
Beliau turut memaklumkan mengenai Fasa 1 Taman Teknologi dan Sains Kedah (KSTP) yang berkeluasan 167 hektar dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Menurutnya, ia kini bersedia menerima pelabur, sementara untuk Fasa 2A kerja pembangunan fizikal dan tanah akan bermula hujung bulan depan yang dijangka selesai dan bersedia menerima pelabur pada 2026.
Sementara Delapan SBEZ pula sedang giat dibangunkan dengan pembangunan Fasa 1 (Depoh Kontena Dalaman) dan Fasa 2 (Kompleks Pergudangan Zon Komersil Bebas) kini telah mencapai kemajuan 98 peratus siap.
Untuk rekod, SBEZ mempunyai keluasan 4,705 hektar yang terbahagi kepada dua komponen iaitu Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dan Delapan SBEZ dizonkan sebagai kawasan perindustrian antarabangsa milik PKNK. – HARAKAHDAILY 26/8/2024











