Presiden Tunisia lakukan rombakan mengejut kabinet

Kais Saeid (FOTO: The Arab Weekly)
- Advertisement -

TUNIS: Presiden Tunisia, Kais Saied melakukan rombakan kabinet pada Ahad, dengan menggantikan beberapa orang menterinya termasuk Menteri Hal Ehwal Luar dan Menteri Pertahanan, tanpa memberikan sebarang penjelasan atas tindakannya itu.

Rombakan mengejut itu menggantikan secara keseluruhan 19 menteri dan tiga setiausaha kerajaan negeri, hanya beberapa hari selepas beliau memecat bekas perdana menteri, Ahmed Hachani menjelang pilihan raya presiden pada 6 Oktober depan, lapor Arab News.

- Advertisement -

“Hari ini, 25 Ogos 2024 (waktu tempatan), Presiden Republik ini telah memutuskan untuk membuat perubahan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.

Saied, 66, dipilih secara demokrasi pada 2019, tetapi telah mendalangi rampasan kuasa pada 2021, di mana beliau bertindak menggulingkan kerajaan menggunakan peruntukan darurat dan mengukuhkan lagi cengkaman kuasanya dengan mengubah perlembagaan. 

Sebagai tindak balas terhadap peningkatan kuasanya, Saied mencabar Mahkamah Keadilan berhubung keputusannya mengenai had kuasanya, dengan menegaskan bahawa tindakannya itu berada dalam batas perlembagaan. 

Mahkamah Keadilan kemudiannya mengekalkan keputusan Saied, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan dan kuasanya selaku presiden negara berkenaan.

Beliau menganggap pencalonannya dalam pilihan raya kali ini sebagai sebahagian daripada ‘perang pembebasan’ dan ‘penentuan nasib sendiri’ yang bertujuan untuk menubuhkan ‘republik baharu’, di saat beberapa lawan politiknya kini berada dalam penjara atau sedang didakwa.

Awal minggu ini, Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW), sebuah badan pemantau global berkata, pihak berkuasa Tunisia telah mendakwa, mensabitkan kesalahan atau memenjarakan sekurang-kurangnya lapan calon menjelang pilihan raya itu.

Pilihan raya presiden pada Oktober depan bakal berlangsung di tengah-tengah krisis ekonomi dan politik yang berterusan di Tunisia, dengan perkembangan terbaru ialah pemecatan Perdana Menteri, Ahmed Hachani oleh Kais Saied pada 7 Ogos lalu, diikuti dengan pelantikan Menteri Hal Ehwal Sosial, Kamel Madouri sebagai Perdana Menteri baharu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 26/8/2024

- Advertisement -