Kejayaan Kedah perkasakan Mahkamah Syariah wajib dicontohi

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan kerajaan negeri Kedah dalam memperkasakan Mahkamah Syariah perlu dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia,  Afnan Hamimi Taib Azamudden mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas kelulusan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 baru-baru ini.

- Advertisement -

“Dalam perkara tersebut, kerajaan negeri telah meletakkan Mahkamah Syariah sebagai sebahagian institusi dalam Undang-Undang Tubuh Negeri itu sendiri pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam,” katanya dalam kenyataan media sosial Facebook Pemuda PAS Malaysia hari ini.

Menurut beliau, institusi kehakiman syariah di Kedah juga telah ditambah baik dengan penggubalan Enakmen Mahkamah Syariah yang meletakkan empat peringkat mahkamah berbanding hanya tiga peringkat sahaja sebelum ini.

Tambahnya, sistem hierarki institusi kehakiman syariah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah, kini dilengkapkan dengan satu lagi Mahkamah, iaitu Mahkamah Utama Syariah.

“Suatu pencapaian luar biasa apabila Kedah menjadi negeri pertama yang berjaya melaksanakan perubahan serentak bagi kedua-dua perkara ini.

“Melalui pindaan ini, kedudukan Mahkamah Syariah di Kedah kini diiktiraf oleh Kerajaan Negeri sebagai suatu institusi penting, yang menjadi tiang kepada pentadbiran negeri Kedah. 

“Ia adalah suatu usaha memartabatkan Mahkamah Syariah yang sebelum ini hanyalah sebagai sebahagian daripada Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam, kini diasingkan dan mempunyai kedudukannya yang tersendiri,” ujar beliau.

Terdahulu, media melaporkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang bertujuan memasukkan penubuhan Mahkamah Syariah.

RUU itu yang turut merangkumi berkenaan pewujudan Mahkamah Utama Syariah dibentangkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum dibahas dan diluluskan secara sebulat suara oleh Ahli Dewan.

Sehubungan itu, Afnan menyatakan kejayaan tersebut  membuktikan bahawa bahawa kerajaan negeri benar-benar serius dalam memperkasakan Mahkamah Syariah dan Perundangan Islam itu sendiri.

Kata beliau lagi, pindaan tersebut juga adalah bagi menjunjung titah Sultan Kedah yang inginkan semakan struktur Mahkamah Syariah bagi ruang keadilan yang selayaknya.

“Sesungguhnya perubahan ini tidak akan berlaku tanpa tekad politik pemimpin Melayu-Islam yang menjadi tonggak utama di setiap negeri.

“Maka, adalah wajar untuk dinyatakan bahawa Negeri Kedah selayaknya dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain dalam memperjuangkan pemerkasaan Mahkamah Syariah dengan sewajarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

- Advertisement -