
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menzahirkan dukacita atas insiden kemalangan Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapal Diraja (KD) Pendekar yang menyebabkan ‘Pengawal Negara’ tersebut karam di posisi dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor.
Timbalan Ketua DPPM, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, berdasarkan laporan terkini pihak TLDM, kesemua 39 anak kapal berjaya diselamatkan dan tiada kemalangan jiwa berlaku.
“Sekalung penghargaan untuk tindakan pantas dan komunikasi yang baik antara agensi-agensi yang terlibat. Pihak TLDM juga telah menyatakan komitmen untuk menyiasat tragedi ini dengan terperinci, dengan menubuhkan lembaga siasatan khas bagi mengenalpasti punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, DPPM berharap agar siasatan dijalankan dengan telus, serta dapatan dari siasatan tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat, oleh kerana KD Pendekar sudah berkhidmat lebih 40 tahun dan perihal pengurusan kapal TLDM banyak disentuh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) lalu.

“LKAN mendapati lebih separuh kapal TLDM melebihi usia guna dan kebanyakannya telah digunakan secara high-tempo.
“Aset dan kemampanan TLDM seharusnya diberi perhatian oleh kerajaan, atas sebab Selat Melaka yang merupakan laluan utama kapal-kapal dagang dunia yang kian sesak serta krisis tuntutan perairan di Laut Cina Selatan masih tidak berkesudahan.
“Lebih malang, pelaksanaan Program Transformasi 15-to-5 TLDM sehingga kini masih berlaku kelewatan kerana skandal yang membelenggu projek kapal tempur pesisir (LCS),” katanya.
Justeru beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata, DPPM menggesa agar kerajaan memberi penekanan lebih dalam Program Tranformasi 15-to-5, selain menyediakan laporan telus dalam Skandal LCS.
Selain itu ujarnya, DPPM menyarankan agar kapal-kapal TLDM melebihi usia guna yang sedang beroperasi dan berkhidmat membuat pemeriksaan dalam kadar segera dan menyerahkan kepada kebijaksanaan TLDM bagi memastikan pengawasan keselamatan perairan negara tidak terjejas sepanjang ‘pengawal negara’ diselenggara.
“Pemuda PAS turut mendoakan semoga operasi salvaj TLDM bagi menyelamatkan kapal dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024




















