
BEIRUT: Iran dalam kenyataannya pada Isnin berkata, Israel telah kehilangan kuasanya sebagai penentu, dan sebaliknya keseimbangan strategik di rantau Asia Barat kini telah beralih menentang negara haram itu, susulan serangan oleh kumpulan bersenjata Lubnan, Hizbullah.
Hizbullah melancarkan ratusan roket dan dron menyerang Israel pada awal Ahad, ketika tentera Israel mendakwa ia telah menyerang Lubnan dengan kira-kira 100 jet untuk menggagalkan serangan yang lebih besar, dalam salah satu pertempuran terbesar sepanjang lebih 10 bulan peperangan di sempadan Israel-Lubnan.
“Walaupun mendapat sokongan menyeluruh dari negara seperti Amerika Syarikat, Israel tidak dapat meramalkan masa dan tempat tindak balas serangan oleh Hizbullah.
“Israel telah kehilangan kuasanya,” kata jurucakap kementerian luar Iran, Nasser Kanaani melalui platform X.
Tambah Kanaani, Israel ‘kini perlu mempertahankan dirinya di dalam wilayah yang didudukinya’ dan bahawa ‘imbangan strategik di rantau Asia Barat kini telah mengalami perubahan asas’ yang merugikan negara haram itu sendiri.
Terdahulu pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah berkata, serangan terhadap Israel itu adalah sebagai tindakan balas dendam atas pembunuhan komander Hizbullah, Sayyed Fouad Ali Shokr pada hujung bulan lalu, lapor MNA.
Dengan tiga kematian disahkan di Lubnan dan satu di Israel selepas pertempuran pada Ahad, kedua-dua pihak menyatakan mereka bersedia untuk mengelakkan peningkatan perang lebih lanjut buat masa ini, tetapi memberi amaran bahawa mungkin terdapat lebih banyak serangan akan dilancarkan pada masa akan datang.
Nasrallah berkata, pihaknya akan menilai kesan serangan roket dan dron ke atas tentera Zionis Israel itu, sebelum menentukan sama ada akan melakukan serangan selanjutnya.
Dalam ucapannya menerusi siaran di televisyen, beliau berkata bahawa pihaknya telah dapat melakukan serangan seperti yang dirancang, dan menafikan kenyataan oleh tentera Israel bahawa serangan awalnya telah menghentikan serangan yang lebih meluas oleh kumpulan pejuang itu, lapor Reuters pula.
“Pihak kami dengan sengaja mengelak daripada menyasarkan orang awam atau infrastruktur awam, termasuk Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv.
“Sasaran utama kami ialah pangkalan perisikan tentera kira-kira 110 kilometer di dalam wilayah Israel, serangan paling dalam dan hanya 1.5 kilometer di utara Tel Aviv.
“Jika hasilnya tidak mencukupi, maka kami akan mengekalkan hak kami untuk membalas dendam di lain masa,” katanya dalam ucapan itu.
Tambah beliau, pihaknya telah menangguhkan tindakan balas terhadap Zionis Israel bagi memberi peluang kepada rundingan gencatan senjata di Semananjung Gaza yang sedang berlangsung, serta ‘pertimbangan’ politik yang lain bagi mengelakkan daripada mencetuskan perang berskala penuh.
Terdahulu, Hizbullah pada Ahad telah berjaya melancarkan lebih 300 roket ‘Katyusha’ untuk mengalihkan perhatian sistem pertahanan Iron Dome negara haram itu, sebelum melakukan serangan menggunakan dron.
Serangan itu termasuk dron yang dilancarkan dari timur wilayah Lembah Bekaa, yang merupakan serangan pertama dilakukan dari kawasan itu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 26/8/2024




















