
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan rasa kecewa dengan sikap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang lebih cenderung melaksanakan agenda politik berbanding tanggungjawab sebenar terhadap rakyat.
Kesalan itu juga beliau tujukan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah yang menyekat penglibatan Exco, ADUN termasuk beliau sendiri masuk ke sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.
“Kita faham akan kepentingan para Exco atau ADUN untuk mengadakan program di sekolah. Bukannya nak buat program parti, letak lambang parti dan logo parti di sekolah.
“Tetapi mereka yang digelar ‘penyakau, penyamun’ dibenarkan pula oleh Kementerian Pendidikan, depa (mereka) boleh pejam mata, pasal apa? Sebab depa dah berpakat dan menjadi rakan ‘hoi ya hoi’,” kata beliau kesal.
Sanusi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup sempena Sidang DUN Kedah yang berakhir hari ini
Sebelum itu, ADUN Jitra yang juga Exco Kerajaan Negeri, meluahkan rasa tidak puas hati apabila undang-undang rimba masih dilaksanakan oleh kerajaan yang menerajui negara sekarang ini.
Katanya beliau terpaksa membuat pilihan terbaik dengan membatalkan kehadirannya apabila para pelajar, guru-guru serta pengetua tidak dibenarkan hadir sekira majlis itu dihadirinya.
Justeru kata Sanusi, sikap yang ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Pendidikan adalah sangat tidak demokratik serta tidak menghormati profesional pihak lain.
“Kita tidak berhasrat untuk berpolitik dalam sektor pendidikan
sebaliknya kita nak sektor ini bebas daripada elemen dan propaganda politik kepartian.
“Tetapi hari ini kita tengok ada Pengarah Pendidikan jadi pengerusi perhubungan parti politik dan aktivis parti. Saya sebelum ini tak pernah kecam, mana-mana pegawai nak berpolitik.
“Tetapi hari ini saya lahirkan rasa kecewa dengan sikap mereka yang tidak demokratik. Kalau nak main politik dan dalam masa yang sama jadi pegawai kerajaan, letak jawatan dan bertanding dalam pilihan raya.
“Mari duduk sini (dewan sidang), kita berbahas di dewan ini sebagai ahli politik. Jangan guna kuasa sama ada di kementerian atau jabatan untuk laksanakan arahan politik. Negara akan hancur.
“Tidak kiralah orang PAS ka, BERSATU ka, jangan guna kedudukan untuk agenda politik,” kata ADUN Jeneri itu lagi.
Sebagai Menteri Besar yang mengepalai negeri, beliau menghormati perbezaan fahaman parti politik dalam kalangan pegawai dan kakitangan awam tetapi berpolitiklah selepas jam 5:00 petang iaitu selepas waktu kerja.
Manakala pada waktu bekerja iaitu bermula jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang katanya, bekerjalah secara profesional sebagai pegawai dan kakitangan kerajaan.
Oleh itu, tegasnya, sikap Menteri Pendidikan yang dilihat tidak adil kepada parti yang tidak sehaluan dengannya serta menjalankan agenda parti di premis-premis pendidikan, perlu diambil perhatian oleh Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 26/8/2024











