
PARIT, Perak: Program Fun Ride PARIT Best yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota telah berjaya menarik seramai 120 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Pengerusi Pondok Pengajian Darul Mubarak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, tujuan program diadakan semalam itu adalah bagi menggalakkan gaya hidup sihat, di samping memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau yang turut serta dalam program kayuhan ini dan mengayuh bersama-sama peserta sepanjang perjalanan turut berkata, program kayuhan sejauh 40 kilometer ini bermula dari Dataran Pondok Darul Mubarak dan melalui beberapa lokasi menarik di sekitar kawasan Parit.
“Kayuhan bermula dari Dataran Pondok Pengajian Darul Mubarak, Kampung Selboh, Parit dan melalui beberapa lokasi termasuk PASTI Layang Kiri, hadapan Sekolah Rendah Bota Kiri, Kota, dan Pagar Layang Kanan sebelum kembali semula ke Pondok Darul Mubarak.
“Laluan yang dipilih memberikan peserta pengalaman yang menarik dan mencabar, dengan pemandangan desa yang indah dan suasana yang menyegarkan,” katanya.
Tambah beliau lagi, peserta yang menyertai program ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, tanpa mengira usia.

“Program ini turut disertai oleh orang muda dan juga warga emas, menunjukkan semangat kesukanan dan kekitaan yang tinggi dalam kalangan komuniti setempat,” ujarnya.
Ismi yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit turut menyampaikan ucapan tahniah kepada pihak urus setia atas kejayaan menganjurkan program ini yang berjaya mengumpulkan komuniti setempat dalam suasana yang sihat dan menyeronokkan.
Selain daripada kayuhan, para peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik melalui cabutan bertuah yang diadakan selepas program tamat.
“Program itu terbuka kepada semua golongan lelaki dan wanita dengan pendaftaran yang telah dibuka sehingga 15 Ogos lalu.
“Acara tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan, dan diharapkan dapat dijadikan acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh warga Parit,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap agar program Fun Ride ini dapat menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu dan menjadi platform untuk semua pihak bagi membina kekuatan fizikal dan mental, sambil memperkukuh perpaduan dalam kalangan komuniti.
“Pihak penganjur juga merancang untuk menambah baik program ini pada masa hadapan dengan pelbagai aktiviti menarik yang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024




















