
KUALA TERENGGANU: Dakwaan bahawa virus Mpox disebarkan melalui asap kapal terbang (chemtrail) adalah tidak berasas dan merupakan satu penyelewengan fakta yang serius, tegas pakar perubatan keluarga, Dr Suhazeli Abdullah.
Beliau berkata, virus Mpox disebarkan melalui asap kapal terbang atau dimasukkan ke dalam vaksin adalah satu fitnah yang sengaja disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, cerita lapuk dan kefahaman yang menyeleweng seperti sebaran virus Covid-19 melalui asap kapal terbang juga telah lama wujud dan telah disangkal dengan mudah.
Menurutnya, semasa pandemik Covid-19 semua penerbangan tidak dapat melepasi ruang udara dan tidak ada pun asap kapal terbang tetapi ia terus tersebar dengan luas.
Tambahnya, pembuktian jelas bahawa penyebaran Covid-19 bukan akibat dari asap tetapi akibat dari pergerakan manusia.
“Namun terdapat lagi segelintir pihak yang masih lagi berkeras dan cuba menyebarkan kefahaman mengarut ini terhadap jangkitan virus Mpox yang menjadi wabak ketika ini.
“Sebenarnya minda mereka celaru serta keliru dengan kemajuan sains dan akhirnya kekeliruan mereka itu menambahkan lagi kekusutan di dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Kata beliau lagi, pihak yang tidak bertanggungjawab itu juga dengan mudahnya cuba menabur fitnah mengatakan Bill Gates telah menjalankan kegiatan kotor melalui memasukkan virus Mpox ke dalam asap kapal terbang dan vaksin supaya seluruh dunia dijangkiti.
“Melalui kaedah itulah filantropis terkaya dunia akan semakin kaya dengan pembuatan vaksin. Ini adalah rantaian fitnah-fitnah yang selalu ditabur oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Mengulas lanjut, kata Suhazeli, virus Mpox termasuk dalam keluarga virus smallpox (cacar), telah lama diketahui dan bukanlah sesuatu yang baharu.
Katanya, Mpox adalah bukan sejenis virus yang baharu, ianya telah pun ditemui sejak dari 1958 lagi.
Virus itu, ujar beliau telah mengalami beberapa pengubahsuaian genom.
Mpox juga, katanya termasuk keluarga yang sama dengan virus smallpox (cacar) yang pernah menjadi darurat wabak kematian satu masa dahulu.
“Kaedah penyebaran Mpox juga telah pun diketahui iaitu melalui hubungan secara fizikal dengan mereka yang dijangkiti dan mereka yang menjalankan aktiviti yang berisiko tinggi seperti mengamalkan aktiviti seks songsang.
“Laporan dari jurnal Nature mendapati 98 peratus kes Mpox adalah dalam kalangan lelaki homoseksual atau biseksual.
“Manakala didapati 41 peratus dari mereka dijangkiti seiring (co-infected) dengan human immunodeficiency virus (HIV). Tambahan lagi, 73 peratus gejala lepuh kulit (lesions) berlaku di kawasan dubur (anal) dan genitalia (alat kelamin),” katanya.
Kata beliau, sehingga kini tidak terdapat bukti Mpox boleh merebak melalui udara apatah lagi disebarkan melalui asap kapal terbang.
“Cukuplah, jangan percaya teori yang karut marut itu. Masyarakat dinasihatkan mendapat maklumat dari sumber yang berautoriti dan sahih,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024











