Sukan Bola Sepak Bola Jaring PASTI Malaysia 2024 meriah

- Advertisement -

BALIK PULAU: Kejohanan Sukan Bola Sepak Bola Jaring (BSBJ) PASTI Malaysia kali ke-14 telah berlangsung di negeri ini pada 23 Ogos dan berakhir semalam.

- Advertisement -

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri pada malam perarakan yang diadakan di White Resort Camp, manakala acara sukan BSBJ berlangsung di Padang Awam Kongsi, di sini pada keesokan harinya.

Sebanyak 26 pasukan BSBJ dari 13 buah negeri berentap bagi dua acara iaitu bola sepak dan bola jaring pada hari tersebut.

PASTI negeri Selangor telah merangkul johan keseluruhan dengan mendapat tempat pertama acara bola sepak dan naib johan bola jaring, manakala Wilayah Persekutuan johan bagi acara bola jaring, dan Perak pula naib johan bola sepak.

Adik Aryan Awwadi Airul Azhar dari PASTI Selangor telah menerima Anugerah Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Bola Sepak, manakala Adik Nurul Ainul Mardhiah Abdul Hamin dan Adik Sumayyah Mohd Hazri dari PASTI Wilayah Persekutuan masing-masing mendapat Anugerah Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Bola Jaring.

Pengarah Program Kejohanan BSBJ merangkap Pengarah PASTI Pulau Pinang, Mohammad Zaharen Abdul Kadir merakamkan tahniah kepada anak-anak PASTI yang telah terpilih mewakili negeri masing-masing.

“Di mata kami, anda adalah juara kerana berjaya ke peringkat ini, tidak mudah untuk sampai ke tahap ini dan ia satu kejayaan yang harus dihargai.

“Bermula dari medium BSBJ PASTI ini, dapat mencungkil bakat-bakat yang hebat untuk diketengah di peringat yang lebih tinggi, melentur buluh biar dari rebungnya,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan BSBJ PASTI juga memperlihatkan keupayaan PASTI menganjurkan satu program bertaraf kebangsaan yang menggunakan jentera sepenuhnya dari kalangan ahli-ahli parti sahaja.

Turut hadir meraikan majlis, Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol, Ketua Sektor Pendidikan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Aizat Zakaria, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Zuzalie Ariffin, ADUN Pulau Betong, Shukur Zakaria dan ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah.

Kejohanan sukan itu lebih menarik dan meriah dengan kehadiran ibu bapa dan ahli keluarga yang memberi sokongan padu kepada anak-anak dan pasukan masing-masing. – HARAKAHDAILY 25/8/2024

- Advertisement -