SUKMA 2024: Kelantan cadang nilai semula peranan MSN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Gagal membuat perubahan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, Kerajaan Kelantan mencadangkan penilaian semula peranan Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi memperbaiki kelemahan.

Pada temasya sukan dwitahunan itu, Kelantan sekali lagi mengulangi prestasi yang telah dilalui pada tahun 2018, 2022 dan 2024, menduduki anak tangga kedua dari bawah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, antara perkara penting yang perlu dilakukan ialah melihat semula penyusunan pencarian atlet berbakat termasuk peranan persatuan sukan.

- Advertisement -

Selain itu katanya, isu lain yang selalu dibangkitkan, masalah kewangan dan bajet MSN sendiri yang perlu ditangani.

“Kita akan cuba memohon bajet kerajaan negeri pada masa akan datang supaya ada pertambahan untuk program pembangunan sukan MSN.

“Pada masa yang sama, kita juga akan mendapatkan sokongan  daripada korporat bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya pada media malam tadi.

Kelantan menghantar 400 atlet untuk menyertai 30 acara sukan yang dipertandingkan pada SUKMA tahun ini dan menyasarkan kutipan 56 pingat melibatkan 20 emas, 10 perak dan 26 gangsa.

Zamakhshari bagaimanapun memberitahu, kontinjen Kelantan hanya meraih 37 pingat iaitu 7 emas, 13 perak serta 17 gangsa berbanding sasaran sebenar.

Jelasnya, jumlah itu tidak mencapai sasaran di peringkat MSN dan persatuan sukan yang menjangkakan akan mengutip 56 pingat termasuk 16 pingat emas.

Bagi menghargai jasa kontinjen Kelantan, Zamakhshari berkata, pihaknya bersama MSN akan menganjurkan satu majlis khusus dalam masa terdekat bagi meraikan semua atlet untuk menyampaikan insentif kepada pemenang pingat.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri melalui MSN bersetuju memberikan insentif kewangan antara RM1,500 hingga RM4,500 kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada temasya berkenaan.

“Insentif membabitkan acara individu atau dua atlet yang meraih pingat emas akan memperoleh RM2,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500) setiap seorang.

“Bagi acara berpasukan tiga hingga enam atlet, RM3,000 untuk pingat emas, perak (RM2,500) dan gangsa (RM2,000),” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu lagi.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Larian Jiwa Merdeka 2024 sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan di pekarangan Aeon Mall Lemah Sireh, di sini.

Program Larian Jiwa Merdeka 2024 itu disertai 2,000 peserta yang dianjurkan Imedikel Pharma Holding Berhad, membabitkan larian lebih empat kilometer. – HARAKAHDAILY 25/8/2024

- Advertisement -