
KOTA BHARU: Semangat kemerdekaan tidak hanya terbatas pada tanggal 31 Ogos setiap tahun sahaja, sebaliknya ia perlu diterjemahkan dalam setiap aspek kehidupan masyarakat Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, ia perlu diterjemahkan dalam kaedah yang berbagai sama ada melalui lagu, pakaian program atau aktiviti.
Menurutnya, paling penting semangat cintakan negara yang diharmonikan dengan perpaduan masyarakat adalah sebahagian erti kemerdekaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Larian Jiwa Merdeka 2024 sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan di perkarangan Aeon Mall Lemah Sireh, di sini malam tadi.
Katanya, secara peribadi beliau berpendapat program larian jiwa merdeka adalah manifestasi semangat kemerdekaan yang ada pada diri seseorang.
“Setiap langkah yang diambil, setiap peluh yang menitis, ia sebagai satu simbolik kepada semangat perpaduan, kesukanan dan kecintaan kita kepada negara yang amat dicintai ini.
“Ada yang menterjemahkan semangat kemerdekaan dalam bentuk pakaian, meletakkan bendera (Jalur Gemilang) di kereta milik peribadi, di rumah dan berbagai lagi,” katanya.
Menurutnya, peserta yang mengambil bahagian dalam program larian itu, sebahagian besarnya dari anak muda serta ibu bapa yang membawa anak-anak kecil bersama bagi memeriahkan program.
“Anda semua adalah pewaris kepada masa depan negara dan anak muda Kelantan di hadapan saya inilah telah buktikan kekuatan serta kecintaan terhadap negara Malaysia yang diterjemahkan melalui larian ini,” katanya lagi.
Seramai 2,000 peserta mengambil bahagian pada program larian yang melibatkan kira-kira empat kilometer sekitar Kota Bharu.
Sempena program berkenaan diadakan cabutan bertuah berupa motosikal, jam tangan, peralatan memasak dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 25/8/2024











