Bencana di negeri PH, bukan untuk dipersendakan

- Advertisement -

AHLI PAS yang waras, jangan menganjing dengan bencana yang menimpa saudara kita di Ulu Slim. Biarlah kita lihat berapa banyak balak yang hanyutpun, jadikan bencana ini sebagai peringatan dari Allah, bukan untuk menghina. Ada saudara kita yang menjadi mangsa. Kita wajib menolong, bukan memperli.

Kalau ia terkena kepada negeri yang PAS perintah, maka akan gegak gempitalah walanon, seakan-akan seronok, seperti boleh jatuh negeri dan mereka akan segera menguasainya. Kita sudah ada rekod mengenai kejahatan mereka.

- Advertisement -

Jangan kita ikut perangai mereka yang tak ada pegangan agama, walaupun bencana menimpa, mereka bergembira, tetap menuduh dan memfitnah semahunya, tanpa rasa insaf. Bagi mereka sedih bencana hanya bila terkena kepada mereka dan keluarga sahaja.

Balaslah kejahatan mereka dengan kebaikan kita. Kita ada syariat Islam yang mengajar apa yang boleh dan tidak boleh dalam kehidupan kita. Ucapkanlah innalillahi wainna ilaihi rojiuun atas ujian yang menimpa.

Begitulah yang diajar oleh Islam melalui Rasulullah yang kemudiannya dituruti oleh sahabat seterusnya datang kepada kita semua melalui ulamak dengan ilmu yang mereka ada dan amalkan.

Ulamak adalah pewaris para nabi. Mereka mengetahui dengan mendalam hal berkenaan Islam ini dengan kesungguhan mereka belajar ilmu secara terpelihara iaitu bersanad dan bertalaqqi. Bukan jenis mereka yang duduk di hadapan komputer, bertanyakan Google, kemudian berfatwa.

Maka kekuatan PAS ialah kerana meletakkan ulamak pada tempat tertinggi dalam organisasi dan menghormati ulamak yang di luar organisasi dengan tidak menghina dan mencerca mereka. Pandangan berbeza, bukanlah syarat untuk bermusuh.

Ulamak disebutkan sebaris dengan malaikat dalam surah Ali-Imraan, menunjukkan kemuliaan mereka. Mereka diberikan keistimewaan dalam berfatwa. Jika fatwanya benar, dia mendapat dua pahala dan pahala jariah orang yang melaksanakannnya. Dan jika salah tetap mendapat satu pahala.

Menghina ulamak tidaklah menjadikan ulamak yang mereka itu hina rebah kerana penghinanya itu pastilah dari kalangan mereka yang jahil, bodoh, jahat dan zalim terhadap diri sendiri. Tambah pula hal yang mereka kutuk itu, bukan satu kesalahan dalam agama. Hanya sekadar persepsi jahat.

Sebaliknya ia menjadi pahala percuma yang berterusan kepada ulamak itu kerana mereka dilindungi Allah atas ilmu yang mereka ajar dan amalkan. Kemuliaan mereka bertambah dengan banyaknya penghinaan itu.

Sedangkan Rasulullah yang mulia itu juga dihina, apatah lagi ulamak sebagai manusia biasa yang bukan bertaraf nabi dan rasul ini. Pastinya tidak akan lepas daripada musuh yang akan menghinanya.

Ironinya, dalam semua kes penghinaan, si jahil dan bodoh itu akhirnya akan menangis meminta maaf kepada ulamak kerana menyesal menghina ulamak. Tidak pernah lagi ada ulamak yang menangis, memohon ampun dan maaf kepada si jahil dan bodoh itu kerana dihina.

Kekallah kita bersama ulamak kerana musuh Islam mahu mencabut kesetiaan kita kepada Islam dengan memisahkan kita dari ulamak. Hancur ulamak, hancurlah kehidupan agama kita. Kita akan dikuasai oleh syaitan. Dan itulah tujuan sebenar mereka. – HARAKAHDAILY 24/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -