
“ORANG Parsi boleh membunuh musuhnya dengan kapas”.
Ungkapan ini adalah pepatah masyhur yang dikaitkan dengan sejarah orang Parsi dalam menghadapi musuh mereka sejak zaman berzaman. Ketelitian, kesabaran dan tidak tergesa-gesa dalam satu-satu tindakan menjadi “trademark” kepada mereka. Ungkapan ini juga disebut oleh pemimpin utama Hizbullah, Syed Hassan Nasrullah dalam ucapan terbaharunya, baru-baru ini.
Selepas serangan bacul yang membunuh As-syahid Ismail Haniyeh di Tehran, Iran pada akhir Julai lalu, Iran tanpa berlengah masa dengan segera menuding jari terhadap reJim Zionis Israel kerana merekalah yang paling mendapat faedah daripada pembunuhan ini walaupun tiada pengakuan secara jelas dari reJim pengganas tersebut sehingga hari ini.
Tindakan provokasi rejim Zionis Israel bertujuan mengheret Amerika Syarikat (AS) dan kuasa Barat yang menjadi pelindungnya terlibat secara langsung dalam konflik ini bagi menyelamatkan mereka daripada kancah kehancuran selepas operasi Taufan al-Aqsa, 7 oktober yang lalu.
Pembunuhan As-syahid Ismail Haniyeh pada saat majlis angkat sumpah presiden baharu Iran adalah strategi “serampang dua mata”. Pertama, untuk menjatuhkan kredibiliti Iran di kaca mata dunia dan yang kedua, mengumpan Iran agar turut sama sekali dalam peperangan yang sedang berlangsung di Semenanjung Gaza sekali gus bakal merealisasikan impian Barat selama ini untuk menghapuskan Iran.
Itulah sebabnya begitu besar aset ketenteraan Barat dikerahkan ke Timur Tengah, bukan sahaja untuk melindungi negara haram Israel, tetapi niat utamanya adalah untuk menghancurkan Iran sekali gus melancarkan “regime change” di Iran.
Dengan ranapnya Iran, sekali gus ia meranapkan proksi-proksinya dari kalangan kumpulan pejuang Palestin. Dengan itu selamatlah negara haram Israel, lancarlah perjalanan perluasan jajahan “The Greater Israel” apa tah lagi Donald Trump dijangka bakal memenangi pilihan raya Presiden AS tidak lama lagi kerana beliau adalah arkitek “Abraham Accord”, iaitu normalisasi hubungan dengan negara haram Israel dan dalam kempennya baru-baru ini, beliau menyatakan komitmennya untuk mempertahan dan memperkuatkan negara haram Israel di Timur Tengah.
Kini, rata-rata masyarakat dunia khususnya pendokong perjuangan rakyat Palestin menunggu apakah tindakan yang bakal dilakukan Iran terhadap rejim Zionis Israel. Pemimpin agung Iran, Ayatullah Ali Khamenei telah mengeluarkan arahan untuk bertindak balas kerana ia diizinkan oleh undang-undang antarabangsa walaupun menerima tekanan daripada pelbagai pihak, khususnya negara Barat.
Tidak hanya menerima tekanan, Iran turut diancam dengan pelbagai sekatan dan ugutan, malah rejim Zionis Israel menyatakan akan melakukan serangan awal dalam usaha untuk mengelak dari dimusnahkan Iran.
Pada tanggal 12 Ogos lalu, Canselor Jerman Olaf Scholz, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer, mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Iran supaya tidak bertindak balas ke atas rejim Zionis Israel. Peliknya, tidak ada satu ayat yang mengecam rejim Zionis Israel, walhal negara haram inilah yang menjadi penyebab utama kepada permasalahan yang sedang berlaku di Timur Tengah sejak puluhan tahun lalu.
AS yang menjadi pendokong utama rejim Zionis Israel telah mengerahkan sepertiga dari aset tentera lautnya ke Timur Tengah yang terdiri dari armada kapal perang, kapal pengangkut pesawat dan pesawat pejuang bagi melindungi negara haram Israel, gerakan tentera laut yang terbesar AS sejak perang dunia kedua.
Begitu juga Britain dan Perancis yang turut mengerah armada tentera laut mereka di samping menempatkan puluhan pesawat pejuang canggih di Cyprus dan negara Teluk bagi menghalang Iran daripada menyerang negara haram Israel. Ketumbukan besar pergerakan tentera Barat ke Timur Tengah jelas menggambarkan betapa gerunnya Barat akan tindak balas Iran ke atas negara haram Israel.
Namun begitu, apakah bentuk tindak balas yang bakal dilakukan Iran terhadap negara haram Israel?
Pertama: Peningkatan serangan oleh proksi-proksi utamanya iaitu Hizbullah, Ansarullah dan kumpulan pejuang Iraq sebagaimana yang dilakukan ketika ini. Serangan bertali arus Hizbullah di selatan Lubnan menyebabkan hampir keseluruhan penempatan Yahudi di sempadan antara negara haram Israel dan Selatan Lubnan lengang.
Kedua: Menyasarkan individu dan sasaran tertentu dalam negara haram Israel. Rejim Zionis Israel menjangkakan serangan seperti ini bakal menyasarkan fasiliti penjanaan kuasa eletrik yang dijangka mampu menghuru-harakan negara haram Israel. Serangan seperti ini juga dijangka bakal menyasarkan beberapa pengkalan tentera udaranya yang menempatkan ratusan aset yang menjadi nadi utama tentera rejim Zionis Israel. Jika lumpuh aset tentera udaranya, tentera rejim Zionis Israel umpama badan tidak bernyawa.
Pemimpin-pemimpin rejim Zionis Israel, termasuk Benjamin Netanyahu juga dijangka menjadi sasaran apatah lagi baru-baru ini Hizbullah telah menyiarkan video dari dron peninjaunya yang telah menyelinap secara rahsia ke dalam negara haram Israel lalu memaparkan kediaman peribadi Benjamin Netanyahu di Caesarea, utara Tel Aviv. Ia telah mencetuskan kegemparan dan ketakutan di negara haram Israel.
Ketiga: Serangan besar besaran. Senario ini tidak mustahil boleh berlaku namun ia akan memberi kesan yang besar ke atas Iran. Pada jangkaan ramai penganalisa ketenteraan dunia, jika Iran melancarkan serangan ke atas negara haram Israel dalam skala yang besar, serangan tersebut bakal disertai sama proksinya yang lain.
Serangan ini mampu mengelirukan dan melumpuhkan sistem pertahanan udara rejim Zionis Israel yang terdiri daripada ketumbukan sistem pertahanan udara Iron Dome, Arrow dan Patriot yang dibekalkan AS.
Ini telah dibuktikan keberkesanannya apabila Iran menyerang negara haram Israel beberapa bulan lalu sebagai tindak balas terhadap serangan rejim Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria.
Ratusan dron Iran berjaya mengelirukan sistem pertahanan udara Israel yang menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan peluru berpandu Iran berjaya mengenai sasarannya di dua fasiliti ketenteraan rejim Zionis Israel. Keberkesanan serangan seperti ini mampu disusuli oleh serangan seterusnya yang bakal melenyapkan negara haram Israel dari peta dunia.
Namun akibat yang sangat berat bakal dipikul oleh Iran. Sudah tentu ketumbukan armada tentera Barat yang telah tiba di Timur Tengah bagi melindungi negara haram Israel tidak akan berdiam diri. Iran dijangka akan menerima serangan bertali arus khususnya serangan udara tentera Barat. Dengan limitasi pesawat pejuang Iran, ia hanya mampu bergantung kepada kekuatan sistem pertahanan udaranya yang canggih dan tidak mampu menangkis serangan pesawat pejuang Barat dalam skala yang besar.
Rentetan daripada itu, Iran sedang melakukan persiapan rapi dengan mengadakan latihan ketenteraan yang membabitkan sistem pertahanan udara dan peluru berpandu. Iran juga sedang memindahkan aset-aset sistem pertahanan udara dan peluru berpandunya ke kawasan yang dijangka menjadi sasaran serangan.
Itulah sebabnya Iran mengambil masa untuk bertindak balas, bukan kerana takut atau tunduk kepada desakan tetapi untuk memantapkan persediaan dan menilai segala senario yang bakal berlaku ke atasnya.
Perundingan gencatan senjata antara Hamas dan rejim Zionis Israel turut memainkan peranan atas kelewatan ini walaupun Iran menegaskan ia adalah dua isu berbeza. Jika sekiranya rundingan tersebut gagal mencapai kata sepakat akibat sikap dangkal regim Zionis Israel, ribut dijangka bakal tiba tidak lama lagi.
Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk keamanan yang berterusan khususnya di Palestin dan Timur Tengah. Doakan agar kota Al-Quds dan bumi Palestin bakal dibebaskan tidak lama lagi. Semoga rejim Zionis Israel dan sekutunya menyembah bumi dan kalah tidak lama lagi seterusnya memadamkan peta negara haram Israel dari muka bumi selama-lamanya Insya-Allah. – HARAKAHDAILY 23/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















