Wartawan Palestin terbunuh dibedil kereta kebal Israel

Allahyarham Ibrahim Muhareb, mangsa terbaharu serangan tidak berperikemanusiaan tentera Zionis Isearl. (FOTO: Palestine Chronicle)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Seorang wartawan Palestin terbunuh, manakala seorang lagi cedera selepas tentera Zionis Israel menyasarkan sekumpulan wartawan di kawasan Hamad, di barat Khan Yunis yang dikepung Israel.

Palestinian Journalists Syndicate (PJS) dalam kenyataannya pada Selasa berkata, Ibrahim Muhareb, 26, terbunuh akibat terkena tembakan dan peluru yang dilepaskan dari kereta kebal Israel yang menyasarkan sekumpulan wartawan di kawasan berkenaan pada Ahad lepas, lapor Palestine Chronicle.

- Advertisement -

Sementara itu, agensi berita rasmi Palestin, WAFA, melaporkan pada Selasa bahawa kereta kebal tersebut telah menyasarkan sekumpulan wartawan yang dalam perjalanan ke Kota Hamad, utara Khan Yunis, lokasi di mana tentera Israel telah melancarkan serangan darat.

Berikutan serangan itu, komunikasi dengan Muhareb telah terputus, sebelum kru ambulans menemui mayatnya pada pagi Isnin, lapor WAFA.

Seorang lagi wartawan, Salma Al-Qaddoumi mengalami kecederaan dalam serangan dengan kesan kecederaan terdapat di bahagian belakang badannya, dan dipindahkan ke hospital.

Terdahulu, seramai 169 wartawan dan pekerja media Palestin telah terbunuh, sementara beberapa yang lain cedera atau hilang sepanjang konflik Israel-Hamas yang bermula Oktober tahun lalu.

Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) dan PJS mengutuk pembunuhan dan serangan berterusan terhadap wartawan, sambil menggesa siasatan segera dilakukan terhadap kematian mereka.

IFJ dalam pada itu mengingatkan wartawan yang berada di lapangan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, memakai peralatan keselamatan profesional dan tidak melakukan perjalanan tanpa media mereka menyediakan peralatan keselamatan profesional yang diperlukan untuk membuat liputan di kawasan berkenaan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 21/8/2024

- Advertisement -