Exco nafi dakwaan pasukan bola sepak SUKMA diabai

Zamakhshari Muhamad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menafikan dakwaan yang tular di media sosial pasukan bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan diabaikan sempena temasya tersebut di Sarawak.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, tuduhan itu mengambarkan ada pihak yang tidak berpuas hati pembangunan bola sepak di negeri itu.

Katanya, kerajaan negeri berbangga dengan penjelasan pengurus pasukan, Dato’ Azmi Ariffin yang sedang berusaha untuk layak ke peringkat akhir Sukma Sarawak 2024.

- Advertisement -

“Ada pihak yang tidak berpuas hati dengan program pembangunan bola sepak Kelantan yang kita usahakan sejak tiga tahun lepas.

“Kita sudah mendapat penjelasan pengurus pasukan bola sepak Sukma Kelantan mengenai isu yang viral, didapati tidak benar di mana ia sengaja dibuat untuk menjatuhkan imej pengurusan Sukma Kelantan,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Mabna MBI di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, pasukan Sukma Kelantan didakwa tidak menerima elaun, tanpa pakai rasmi kontinjen dan tanpa sokongan daripada pihak berkenaan.

Zamakhshari juga berkata, pasukan itu merupakan pemain Piala Belia dan Piala Emas Raja-raja.

Menurutnya pemain dan pegawai dibayar elaun setiap kali mencapai kemenangan pada perlawanan di temasya tersebut dan dijaga kebajikan mereka.

Katanya juga pasukan tersebut turut ditawarkan berpindah ke hotel selepas mencapai kemenangan dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) II pada peringkat suku akhir yang diadakan semalam.

“Pakaian seragam yang sesuai tidak dapat disediakan kerana kekangan waktu bagi membuat persiapan untuk menghadapi perlawanan dalam Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di Sabah.

“Mengenai baju warna-warni ketika majlis makan hanya secara kebetulan disebabkan baju-baju pemain dihantar dobi, sepanjang berada di sana semua pasukan memakai pakaian seragam syarat pengurusan.

“Baju kontijen ada disediakn cuma ada kelewatan beberapa peralatan seperti beg dari pembekal yang menghantar ke pejabat Majlis Sukan Negeri Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

- Advertisement -