
KOTA BHARU: Menteri Besar (MB) Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud meluangkan masa lebih sejam menziarahi keluarga Cikgu Istiqomah yang dibunuh kejam baru-baru ini.
Beliau tiba di kediaman keluarga arwah di Kampung Kubang Badak Pasir Mas, turut ditemani isterinya, Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob. (Foto atas)
“Saya amat tersentuh hati mendengar kisah Cikgu Istiqomah daripada suaminya Mohd Yusof Mokhtar ketika menziarahi keluarga arwah. Kejadian itu menggemparkan negara.
“Semoga pelaku menerima hukuman setimpal di atas perbuatan yang tidak berperikemanusiaan tersebut,” katanya dalam satu catatan di laman media sosialnya semalam.
Media sebelum ini melaporkan suspek pembunuhan guru wanita itu dihadapkan ke Mahkamah Alor Gajah Melaka atas jenayah yang tidak berperikemanusiaan.
Penahanan suspek utama itu membawa penemuan beberapa bahagian lagi anggota badan termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mayat dijumpai.
Misteri mengenai penemuan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang disumbat dalam tong sampah selain dibuang ke longkang terjawab apabila disahkan milik guru wanita terbabit.
Ia disahkan berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap ibunya pada 2 Ogos lalu, mendapati sepadan mangsa dilaporkan hilang 27 Disember tahun lalu. – HARAKAHDAILY 21/8/2024











