
KUALA LUMPUR: Anak jati Sijangkang, Nur Afrina Batrisya kekal statusnya ‘ratu pecut’ Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas memecahkan rekod dalam acara 200 meter (m) wanita di Stadium Sarawak, Kuching, Selasa.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, anak jati Sijangkang ini terus cetus sensasi, menoktahkan sasaran dua emas dengan kemenangan berganda untuk acara 200m pula.
“Masih segar kejayaan dan kemenangannya dalam memecahkan rekod temasya dalam acara 100m kini momentum kemenangan itu berhasil dengan kejayaan melalui acara 200m pula,” katanya dalam satu kenyataan.
‘Ratu pecut Sijangkang’ itu sekali lagi membuat kejutan apabila terus menampilkan kemampuannya selepas mencipta catatan masa 23.89 saat (s) sekali gus memadam rekod 24.37s yang dilakar pelari dari Perak Noor Eewan Syafiah Mohd Sabri pada SUKMA 2016.
“Ayuh anak muda kebanggaan Sijangkang terus mencetak nama dengan kejayaan berharga ini sebagai sebuah pahatan memori yang berguna untuk masa muda anda.
“Afrina masih memiliki satu lagi acara untuk disertai iaitu 4x100m wanita dan didoakan moga ia juga mampu menghadirkan khabar gembira buat seluruh penduduk Kampung Sijangkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/202




















