
KUALA TERENGGANU: “Mengimbau kenangan betul bila datang ke Kampung Iboi Ulu ni,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.
Justeru, katanya alang-alang berada di Sarawak, beliau usahakan juga untuk datang ke kampung itu.
Menurutnya, pada tahun 2016 yang lalu, beliau bersama rakan-rakan daripada PAS negeri pernah berkampung di situ hampir dua minggu.
Menerusi catatan di laman sosialnya, beliau memberitahu ia adalah bagi membantu kempen calon PAS di DUN Sadong Jaya yang ketika itu calonnya ialah Cikgu Asan Singkro.
“Kebetulan pula, Cikgu Asan turut hadir meraikan kami tadi. Bila datang Sarawak ni, antara menu yang dikatakan mesti dicuba juga ialah mi udang.
“Alhamdulillah, dapat nikmati juga tadi. Sedap. Insya-Allah, kita bersua lagi di masa akan datang,” ujarnya yang berada di Bumi Kenyalang bagi memberikan sokongan kepada para atlet negeri yang bertanding di SUKMA 2024.
Wan Sukairi adalah bapa angkat sukan olahraga. – HARAKAHDAILY 21/8/2024











