
GUA MUSANG: Biarpun penduduk Kampung Lu Lu dan Melar Mukim Kuala Sungai sudah mendiami penempatan tersebut sejak 40 tahun lalu, namun geran milik tanah belum diperolehi.
Ekoran itu Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengambil inisiatif membantu menyelesaikan permohonan tanah penduduk di kampung tersebut.
Katanya, penduduk di kampung terbabit belum mendapat hak milik biar pun sudah tinggal di penempatan terbabit lebih 40 tahun.
“Permohonan kita angkat secara berkelompok. Saya memmbawa penduduk ke pejabat Tanah Gua Musang bagi membantu menyelesaikan permohonan hak milik tanah mereka,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lepas majoriti penduduk di Kuala Besar menyokong Umno, sedangkan pada Pilihan Raya Negeri Ogos 2023 mereka menyokong Perikatan Nasional (PN).
Penempatan tersebut terletak di pedalaman boleh dihubungi melalui Sungai Nenggiri yang mengambil masa setengah jam menggunakan bot dari Bertam Baru.
Bagaimanapun jalan darat mengambil masa tiga jam kerana terpaksa melalui DUN Paloh dan ladang kelapa sawit di Serasa.
Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berharap permohonan hak milik tanah rakyat dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Usaha bagi membantu rakyat tetap diteruskan walaupun calon PN, Rizwadi Ismail belum menang pada PRK Sabtu lepas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/8/2024











