
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kelapan, Prof Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad dalam kandungan terkini dimuat naik di media sosialnya dilihat menyuarakan pandangan isu semasa secara sinikal.
Marzuki berkata, beliau melihat ada pempengaruh Pakatan Harapan (PH) yang galak menggunakan kenyataan palsu yang kononnya dikeluarkan oleh Bersatu dengan ejaan nama Tengku Mahkota Pahang yang salah.
“Ini dikatakan suatu ‘insult’ (penghinaan) kepada Istana Pahang. Janganlah macam itu. Sendiri karang surat palsu kemudian sendiri kutuk.
“Ini taktik lapuk yang digunakan budak-budak universiti dalam kempen pilihan raya kampus zaman saya pelajar lagi. Tak payahlah ulang taktik lama. Sekarang dah 2024.
“Bila saya lihat perkara-perkara ini, saya teringat bait-bait puisi Rudyard Kipling, ‘Jika kamu mampu mendengar kebenaran yang telah kamu ucapkan diputarbelitkan oleh penipu untuk menjadi perangkap bagi si kurang cerdik,
“‘Milikmu adalah bumi dan segala yang ada di dalamnya, dan yang lebih penting lagi, kamu akan menjadi seorang lelaki, anakku!’ Inilah yang sedang berlaku,” ujar Marzuki.
Menurut beliau, percakapan yang benar sedang dipintal oleh orang jahat untuk dijadikan perangkap bagi orang tidak cerdik.
“Kalau kita boleh tahan dengar benda-benda tidak cerdik ini, kitalah anak jantan sejati.
“Asalkan kita jangan turut jadi tidak cerdik kerana ketidakcerdikan itu bukan suatu pilihan,”jelasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, malah dalam Islam pun Allah SWT berfirman dalam surah al-‘Asr (yang bermaksud) “Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
“Ini isyarat dari al-Quran bahawa sesiapa yang berkata benar hendaklah juga sentiasa bersabar.
“Maka bersabarlah. Mudah-mudahan orang-orang yang sabar akan beroleh keuntungan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2024




















