
KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 laluan utama di sekitar Putrajaya akan ditutup 6 jam mulai 27 Ogos untuk raptai Hari Kebangsaan 2024.
Menurut infrografik Merdeka360 di laman Facebooknya yang merupakan laman rasmi maklumat berkaitan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia telah memaklumkan bahawa sebanyak 21 jalan ini ditutup bermula pada pukul 5 hingga 11 pagi setiap hari.
Penutupan jalan ini bertujuan untuk memudahkan sesi raptai bagi sambutan Hari Kebangsaan yang kurang lebih dua minggu lagi dan ia akan berakhir pada 29 Ogos 2024.
“Antara jalan yang terlibat ialah Laman Perdana, Lebuh Wawasan dan Lebuh Bestari (arah Jalan Tun Abdul Razak), Jalan P2K, Jalan Pembangunan, Jalan P3C, Jalan P3F, Jalan P4B serta Lingkaran Gemilang1 (arah Persiaran Perdana),” katanya.
Sehubungan dengan itu juga, pada 30 dan 31 Ogos pula, terdapat 10 lagi jalan utama sekitar Putrajaya ditutup, bermula dari 7 petang sehingga sambutan Hari Kebangsaan selesai.
Laluan yang terlibat termasuk Persiaran Barat dan Lebuh Sentosa (arah Lebuh Saujana), Lebuh Sentosa dan Jalan Presint 8 (arah Lebuh Wawasan), Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah susur ke Laman Perdana, Jalan Presint 18 (arah Lebuh Bestari), Jalan Presint 18, Lebuh Setia dan Lebuh Saujana (arah Jalan Tun Hussein) serta Jalan Presint 5 (arah Lebuh Gemilang Perdana).
“Justeru, pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan dimohon untuk berhati-hati dan mematuhi papan tanda keselamatan untuk perjalanan yang lancar dan selamat,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang Merdeka360 di semua platform medianya untuk mengetahui maklumat lanut berkenaan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 ini. – HARAKAHDAILY 21/8/2024




















