Penunggang maut, seorang lagi parah, motosikal bertembung

Mohd Sohaimi Ishak
- Advertisement -

MASAI: Seorang lelaki tempatan maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di kilometer 20 Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru pada jam 1.15 pagi, Isnin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, SUPT Mohd Sohaimi Ishak, berkata kemalangan itu dipercayai penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna merah telah bergesel dengan motosikal jenis yang sama berwarna putih yang menunggang di lorong kanan.

“Kemudian kedua-dua penunggang motosikal telah terbabas dan jatuh di atas jalan raya. Akibat daripada kemalangan, penunggang motosikal berwarna merah yang berusia 18 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian. 

- Advertisement -

“Sementara, penunggang motosikal lelaki tempatan berwarna putih yang juga berusia 18 tahun mengalami cedera parah di bahagian kaki dan tangan dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk menerima rawatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Sohaimi berkata, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan merbahaya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan serta sentiasa memandu kenderaan dalam keadaan berwaspada persekitaran dan bertanggungjawab. 

“Sebarang maklumat daripada saksi boleh disalurkan kepada pihak polis di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024

- Advertisement -