Suspek pembunuh dua beranak berjaya ditangkap

- Advertisement -

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun di Masjid Bukit Pinang, di sini susulan penemuan mayat dua wanita di dalam longkang semalam.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, hasil risikan pantas polis berjaya membuat tangkapan tersebut kira-kira empat jam selepas mayat tersebut ditemui.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan,” jelasnya.

Katanya lagi, mayat wanita berusia 34 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang ditemui sekitar 5:00 petang, semalam oleh orang awam, disahkan dua beranak.

Terdahulu, media melaporkan kedua-dua mayat yang ditemui bersebelahan antara satu sama lain dalam keadaan berpakaian lengkap
di dalam longkang, belakang bangunan terbiar berdekatan Pekan Simpang Kuala, di sini.

Seorang mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang, manakala seorang lagi dalam keadaan tertiarap dan didapati terdapat kesan cedera.

Sementara pasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K-9) berada di lokasi melakukan siasatan dan selesai pada jam 8:50 malam sebelum suspek berjaya ditangkap pada jam 9:00 malam. – HARAKAHDAILY 20/8/2024

- Advertisement -