Sifat dengki ibarat api makan kayu

- Advertisement -

AKHIRNYA dengan takdir Allah, Adam dan Hawa memperoleh dua pasang anak kembar dari dua kelahiran. Apabila anak-anak mereka sampai masa matang untuk berkahwin, Nabi Adam mendapat perintah daripada Allah agar perkahwinan antara adik-beradik itu berlaku secara silang. Sebab tiada lagi manusia lain selain mereka pada waktu itu.

Qabil sebagai abang tidak berpuas hati kerana adik perempuannya yang cantik akan dinikahkan dengan Habil manakala adik perempuan Habil yang kurang cantik akan dinikahkan dengannya. Qabil tidak tahu bahawa sebenarnya itu semua adalah ujian daripada Allah SWT.

- Advertisement -

Qabil berbahas dengan ayahnya. Nabi Adam tidak tahu nak buat bagaimana sebab itu adalah perintah Allah. Jadi, baginda meminta Qabil supaya menyerahkan bahan sembahan kepada Allah. Qabil memelihara kambing dan Habil menanam sayur.

Qabil memberikan kambing yang ada kecacatan manakala Habil memberikan sayur yang terbaik. Mereka berdoa supaya Allah menunjukkan siapa antara mereka yang benar. Yang mana satu bahan yang diterima Allah.

Dengan takdir-Nya, api turun dari langit menyambar sayur, tanda Allah menerima bahan sembahan Habil. Nabi Adam meminta supaya Qabil menerima semua ketentuan Allah. Itulah hukuman-Nya. Jadi, perkahwinan tetap perlu diteruskan secara silang. Qabil masih tidak berpuas hati dan mencari jalan lain.

Syaitan menggodanya. Akhirnya, Qabil mencari jalan untuk membunuh. Dia mengambil peluang untuk membunuh ketika adiknya, Habil sedang berehat. Dia mengambil batu dan menghempaskannya ke atas kepala adiknya sehingga mati.

Semasa melakukannya, dia tidak sedar disebabkan oleh perasaan dendam terhadap adiknya. Setelah itu, barulah dia sedar dan terpinga-pinga nak buat macam mana kalau ayahnya terjumpa mayat adiknya.

Habil merupakan manusia pertama yang mati. Kata ulama, inilah pembunuhan manusia yang pertama dalam sejarah. Allah menghantar dua ekor burung gagak. Burung-burung tersebut berlawan di hadapannya. Saling patuk-mematuk dan bercakaran antara satu sama lain.

Dia berasa hairan melihatnya. Selepas itu, seekor burung telah mati. Seekor burung lagi yang hidup menguis tanah dan menggali lubang. Lalu, ia mengheret yang telah mati itu dan menanamnya.

Qabil yang melihat peristiwa itu dapat belajar sesuatu daripada burung. Nak kata, kita manusia lemah sehingga burung terpaksa mengajar caranya. Kalau burung tidak datang tunjuk, dia pun tidak tahu nak buat bagaimana.

Jadi, dia pun terfikir nak mengebumikan mayat adiknya seperti yang dilakukan oleh burung tersebut. Akhirnya, dia menggali lubang dan menanam adiknya.

Punca kematian tersebut berlaku adalah kerana dengki. Dengki menjadi punca besar yang boleh memusnahkan kehidupan manusia. Nabi mencela orang yang dengki. Dengki ini ibarat api yang memakan kayu. Jadi, antara penyakit hati yang kita perlu buang adalah dengki.

Nabi menyebut dalam hadis:
الحسدُ يأكلُ الحسناتِ كما تأكلُ النَّارُ الحطبَ
“Kedengkian akan memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar” (Rujuk Riwayat Imam Ibnu Majah: 4210). – HARAKAHDAILY 17/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -