
STOCKHOLM: Sweden mengumumkan pada Khamis kes pertama di luar Afrika bagi varian mpox yang lebih berbahaya, yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai ‘kecemasan kesihatan awam global’.
Agensi kesihatan awam negara itu mengesahkan kepada AFP bahawa ia adalah jenis virus yang sama yang telah melonjakkan kes jangkitan di Republik Demokratik Congo (DRC) sejak September 2023, yang dikenali sebagai subklade klade 1b.
“Seorang individu yang mendapatkan rawatan (di Stockholm) telah didiagnosis menghidap mpox yang disebabkan oleh varian clade I.
“Ia adalah kes pertama disebabkan oleh clade I yang didiagnosis di luar benua Afrika,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Pakar epidemiologi Sweden, Magnus Gisslen berkata, individu berkenaan dijangkiti ketika mengadakan lawatan ke ‘bahagian Afrika di mana terdapat wabak besar mpox clade I’.

“Pesakit ‘telah menerima penjagaan khusus dari segi rawatan’,” kata Gisslen yang menyatakan bahawa ‘Sweden mempunyai kesediaan untuk mendiagnosis, mengasingkan dan merawat individu yang menghidap mpox dengan selamat’.
“Hakikat bahawa pesakit yang menghidap penyakit mpox dirawat di negara ini tidak menjejaskan risiko kepada penduduk umum, yang telah diwartakan oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) pada masa ini, dianggap sangat rendah,” katanya.
548 kematian di DRC
Terdahulu, wabak mpox di DRC telah meragut 548 nyawa sejak awal tahun ini.
WHO mengisytiharkan wabak di DRC dan negara jiran sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa pada hari Rabu.
Dahulunya dipanggil monkeypox (cacar monyet), virus ini pertama kali ditemui pada manusia pada tahun 1970 di kawasan yang kini dikenali sebagai DRC.
Ia adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus yang disebarkan kepada manusia oleh haiwan yang dijangkiti tetapi juga boleh disebarkan dari manusia ke manusia melalui sentuhan fizikal yang rapat.
Simpton penyakit ini termasuklah demam, sakit otot dan lesi kulit yang besar seperti bisul. -Agensi/– HARAKAHDAILY 16/8/2024




















