CEO Air Perlis dilantik Naib Presiden IWA

Dr. Ir. Ts. Mohmad Asari Daud
- Advertisement -

KANGAR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Perlis (SAP), Dr. Ir. Ts. Mohmad Asari Daud, dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA) semasa Perhimpunan Agung persatuan tersebut di Toronto, Kanada baru-baru ini.

- Advertisement -

Pelantikan itu disambut baik oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohmad Asari atas pencapaian tersebut.

Menurut Mohd Shukri, pemilihan tersebut merupakan satu penghormatan besar dan pencapaian yang boleh dibanggakan, terutama dengan pemilihan Kuching, Sarawak sebagai tuan rumah Kongres dan Pameran Air Dunia pada tahun 2028.

Sebagai Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Mohmad Asari telah memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah peningkatan air tidak terhasil (NRW) di Perlis, yang mencapai 62 peratus pada tahun lalu.

Dengan kerjasama antara Syarikat Air Perlis dan kerajaan negeri, peratusan NRW berjaya dikurangkan kepada 60.73 peratus sehingga Jun 2024, hasil tindakan agresif SAP melalui program ‘We Care’.

Naib Presiden MWA, Adam Saffian Ghazali, turut mengucapkan tahniah kepada Mohmad Asari atas pemilihan tersebut, yang disifatkan sebagai pencapaian luar biasa.

Mohmad Asari akan memegang jawatan Naib Presiden IWA sehingga Mesyuarat Agung IWA pada tahun 2026 di Glasgow, Scotland. – HARAKAHDAILY 16/8/2024

- Advertisement -