Syurga adalah untuk esok-esok setelah mati

- Advertisement -

NABI Adam menyesal dan meminta keampunan daripada Allah. Disebut dalam Surah Al-A’raaf, ayat ke-23.

Baginda berdoa:
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya “Wahai Tuhan kami, kami berdua telah menzalimi diri kami sendiri. Kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan tidak kasihan belas kepada kami, nescaya kami berdua akan menjadi orang yang rugi.”

Rugi maknanya dihalau daripada nikmat Allah dan esok-esok masuk neraka. Bukan maksudnya rugi berniaga. Cara menilai dalam agama ini lain. Kalau rugi berniaga, tetapi dari segi hukum dia untung. Sebab dia tidak menjual barang yang pelik-pelik. Orang lain untung sebab menjual dadah.

- Advertisement -

Sama-samalah kita pakat membaca doa ini kerana kita banyak melakukan dosa. Kadang-kadang, kita tidak ingat dosa kita. Dosa-dosa kita semasa muda contohnya. Jadi, apabila umur sudah meningkat, eloklah kita selalu membacanya dengan harapan Allah akan mengampuni dosa-dosa kita.

Allah sebenarnya sudah merancang terlebih awal. Walaupun Nabi Adam mendapat keampunan-Nya, tetapi ia adalah perancangan Allah. Kata ulama, apa yang berlaku itu adalah ketentuan-Nya. Allah menciptakan Adam dan Hawa bukan untuk mereka duduk di dalam syurga. Syurga adalah untuk esok-esok setelah mati.

Oleh sebab itu, Allah merancang dan perkara tersebut berlaku. Kesilapan mereka menjadi sebab untuk dihantar turun ke bumi. Kalau mereka tidak buat salah dan tidak makan buah Khuldi, mereka akan kekal dalam syurga sampai bila-bila. Jadi, ketiga-tiganya iaitu Adam, Hawa dan iblis diusir keluar dari syurga dan turun ke bumi. Kalau buat baik di bumi, masuk syurga. Kalau tidak, masuk neraka.

Adam dan Hawa masing-masing diturunkan ke bumi di Sri Lanka dan Jeddah. Mereka masing-masing mencari antara satu sama lain. Akhirnya, mereka bertemu di Arafah. Setelah bertemu, mereka hidup di atas dunia dengan kehidupan yang susah. Pakaian daripada daun kayu dan kulit binatang.

Nak makan perlu berburu dan mencari kayu api sendiri. Bina tempat tinggal sendiri. Mereka hidup lebih susah berbanding dengan hidup di dalam syurga sebelum ini. – HARAKAHDAILY 16/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -