Rakyat Nenggiri bersama warga Kelantan yang lain

Perikatan Nasional (PN) menampilkan calon anak tempatan berwibawa, Rizwadi Ismail.
- Advertisement -

NENGGIRI dua minggu ini menjadi ratiban peminat dan pencandu politik tanah air, podium ceramah menjadi lontaran kata kata muluk dengan seribu janji para politikus. Begitu galak sekali jurukempen BN-PH dari negeri luar menyerang Kelantan termasuk Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno.

Kelantan ditohmah keterbelakang, terpuruk serba serbi, juga sebelum ini cytro BN-PH menuduh Kelantan membazirkan duit rakyat dan menyalahgunakan peruntukan Pusat membeli kereta Merc untuk Menteri Besar serta dibayar bonus 50K kepada setiap Exco. Paralel dengan serangan di pelbagai ruang penjuru, anak-anak muda terutama pengundi PRK Nenggiri diseru untuk memenangkan calon PHBN.

Sabar dulu anak muda DUN Nenggiri, Kelantan adalah arca yang berdiri bagi tanah air ini, memantulkan contoh yang akhirnya ditiru oleh kerajaan Pusat dan negeri lain di Malaysia sejak 1990.

- Advertisement -

34 tahun berlalu, PAS memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terkenal dengan keunikan budaya, bervariasi karakter warganya, kuat menjaga citra kemelayuannya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini.

Tiga dasawarsa lebih menggalang amanah yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing politiknya. Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke 19 dan awal abad 20.

PAS berjaya merengkuh Kelantan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Profesor Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain.

PAS kehilangan Kelantan dalam PRU 1978, bahkan hanya berjaya bertahan dengan dua kerusi DUN. PAS terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS.

Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latar belakang pendidikan dan sosioekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya.

Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh-tokoh penggerak parti dalam ruang siasah, dakwah dan tarbiah.

Kelantan disuburkan dengan kuliah ilmu, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA pada dekad 80-an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Saudara Zainudin Abdullah dan Kamaruzaman Ismail.

Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ditambah dengan perisa perbalahan dalaman Umno, krisis pemimpin Umno dan istana Kelantan mempercepatkan kejatuhan Umno dalam PRU 1990.

PRU 1990 memberikan kejutan yang besar kepada politik negara ini apabila berjaya menguasai semula Kelantan setelah tewas pada tahun 1978. Nenggiri juga dimenangi oleh calon APU. Gelombang politik yang agak panas semenjak tahun 1987 menyebabkan Umno sebagai parti teras orang Melayu berpecah dua apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46.

PAS bergabung dengan Semangat 46 dan dua buah parti lain, iaitu Hamim dan Berjasa. Permuafakatan politik ini dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan berjaya memenangi Kelantan dengan menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. PAS yang memenangi kerusi terbanyak mencadangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketua Dewan Ulama PAS Pusat sebagai Menteri Besar Kelantan.

Perlantikan Tuan Guru, seorang tokoh pendidikan merancakkan perkembangan pendidikan Islam di Kelantan dan negeri itu cuba dipopularkan kembali dengan gelaran ‘Serambi Mekah’. Tuan Guru, seorang tokoh yang sangat memberikan perhatian yang besar dalam memperkasakan pengajian Islam sama ada formal atau tidak formal.

Beliau akan sentiasa bercakap tentang keperluan pendidikan Islam untuk membentuk masyarakat yang memahami Islam. Dalam pembentangan Belanjawan Kelantan, belanja pengurusan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) sentiasa diberikan keutamaan.

Sebagai langkah meningkatkan mutu sekolah agama, kerajaan negeri memberikan peruntukan besar kepada YIK, berbanding agensi kerajaan lain. Peruntukan ini ditambah dari setahun ke setahun.

Apabila Tuan Guru menjadi Menteri Besar Kelantan, perhatian kepada sekolah agama diberi keutamaan. Kerajaan Kelantan memberikan perhatian istimewa kepada pendidikan Islam yang digerakkan oleh sekolah agama rakyat, pondok, tahfiz, kolej universiti termasuk pendidikan prasekolah seperti PASTI.

Kelantan menjaga rakyatnya daripada serangan kefasadan, kemaksiatan dan kemungkaran. Lebih tiga dekad warga Kelantan tidak mengenali premis perjudian, konsert hedonisme, pesta arak, malah Kota Bharu yang pernah mempunyai ” Paris Malaya” iaitu tempat persundalan dihapuskan secara total. Kantung negeri disimpan dalam kantung patuh syariah.

Rezeki anak negeri ini setiap ada, dengan semarak sektor pelancongan domestik dan antarabangsa. Setiap kali pencapaian peperiksaan awam diumumkan, maka Kelantan mengejar sengit Terengganu untuk menjulang tropi juara!.

Pembenci Kelantan mencemuh mengapa anak negeri ini ramai mencari makan di luar negeri mereka. Oh! Sebahagian merdeka adalah kelompok kelas menengah Melayu yang berpendidikan, pastilah tempat mereka bukan di baruh atau perdu pokok getah.

Lihat sahaja rumah dan kedai orang Melayu di negeri ini dan bandingkan dengan orang Melayu di negeri lain terutama di negeri UmDap berkuasa. Sangat kontradik dengan segala gerakan pemencilan terhadap mereka selama lebih tiga dekad ini.

Kelantan yang unik dengan asimilasi kaum paling harmoni di Malaysia. Kaum Cina , India dan Siam tak segan menutur bahasa Melayu yang fasih , makan ulaman, budu dan singgang. Pak Lebai Kelantan mentadbir dengan baik sehingga impaknya merembes ke negeri Melayu lain dalam PRU 15 baru ini.

Pengundi Nenggiri pastinya cerdik dalam timbunan maklumat tentang apa isu yang melingkari tanah air di zaman Madani ini. Kos kehidupan mencanak, dasar luar negara yang sangat merisaukan ,seolah keberkatan ditarik oleh yang maha Esa.

Kelantan membangun dengan tidak meninggalkan aspek pembangunan spiritual. Negeri ini berjaya melakukan transformasi sosial dengan begitu efektif melalui wahana pendidikan.

Legasi almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat diteruskan oleh kepimpinan Kelantan pada hari ini, Dato Panglima Perang Ustaz Nasruddin Daud serta sesepuh perjuangan yang lain.

Semoga rakyat Nenggiri terus mendokong aspirasi “Membangun Bersama Islam” untuk dekad yang mendatang, tiada sebab untuk tidak menyokong PAS yang telah membuktikan iltizam dalam melaksanakan tuntutan Ilahi. Kelantan ialah kampus politik terbuka untuk rakyat negara ini. – HARAKAHDAILY 16/8/2024

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat

- Advertisement -