Turkiye: Remaja ketagih permainan video tikam 5 pelanggan kafe

Seorang mangsa serangan dibawa keluar dari lokasi kejadian untuk diberikan bantuan perubatan. (FOTO: Daily Sabah)
- Advertisement -

ANKARA: Seorang lelaki berpakaian jaket kalis peluru dan topi keledar menikam secara membabi buta sekurang-kurangnya lima pelanggan kafe yang terletak di hadapan sebuah masjid di barat laut Türkiye dan menyiarkan secara langsung kejadian itu di platform X miliknya.

Suspek, yang dikenal pasti sebagai A.K berusia 18 tahun, bersenjatakan pisau panjang, didakwa melakukan serangan pada Isnin yang diilhamkan oleh permainan video, lapor Daily Sabah pada Selasa.

- Advertisement -

Dia telah ditahan oleh pasukan keselamatan sebelum mencederakan lebih ramai orang di sekitar kawasan itu.

Menteri Kehakiman Yılmaz Tunç dalam kenyataannya berkata bahawa siasatan sedang dijalankan mengenai kejadian itu.

“Penyerang itu berpakaian seperti individu dalam permainan video, dengan kapak di pinggangnya, memakai jaket kalis peluru dan topi keledar, mukanya bertopeng,” lapor laman web Eskişehir Durum.

Suspek serangan yang berjaya ditahan polis di lokasi kejadian. (FOTO: Daily Sabah)

Imej yang dirakam menunjukkan bahawa suspek  juga memakai cermin mata di atas topengnya, menyembunyikan wajahnya sepenuhnya.

Penyerang tidak menjerit atau menyatakan sebarang motif atas tindakannya itu tetapi laporan mendakwa dia ‘dipengaruhi oleh permainan video mengenai perang’. -Agensi/– HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -