
KANGAR: Spekulasi mengenai peletakan jawatan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, yang sedang hangat diperkatakan disifatkan sebagai tidak berasas dengan pentadbiran negeri berjalan seperti biasa.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, menegaskan bahawa parti itu tidak pernah mengarahkan Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS negeri untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.
Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut tidak pernah dibincangkan di peringkat parti dan menyarankan Mohd Shukri agar tidak melayan desas-desus tersebut.
“Tidak ada, dalam pengetahuan saya, PAS Pusat tidak pernah mengarahkan Mohd Shukri untuk melepaskan jawatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Khabar angin mengenai peletakan jawatan Mohd Shukri mula tersebar selepas sebuah portal berita melaporkan kemungkinan perubahan dalam kepimpinan Menteri Besar yang dikatakan akan berlaku pada Ogos atau September.
Namun, Mohd Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan beliau tidak mengetahui tentang sebarang rancangan sedemikian. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











