Rakyat Malaysia di Jepun siap siaga hadapi gempa bumi

Sebuah rumah runtuh di Osaki dalam wilayah Miyazaki, Jepun selepas diilanda gempa bumi bermagnitud 7.1 pada skala Ritcher, Khamis, 8 Ogos 2024. (FOTO: The Japan News)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Jepun kini sedang bersiap siaga hadapi bencana gempa bumi besar selepas menerima amaran yang dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Amaran yang dikeluarkan JMA itu adalah kepada kepada rakyat Jepun di kawasan 707 majlis perbandaran meliputi wilayah Okinawa ke Ibaraki setelah wilayah Miyazaki dilanda gempa bumi bermagnitud 7.1 pada skala Ritcher, Khamis lalu.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hafez Sabri berkata, pengumuman ini dibuat setelah kumpulan saintis gempa bumi membuat pengiraan dan pemerhatian, malah menjangkakan bahawa gempa bumi mega yang bakal berlaku di Palung Nankai akan lebih kuat daripada biasa.

“Amaran tsunami juga telah dikeluarkan untuk pantai Uwakai di Wilayah Ehime, Wilayah Kochi dan pantai Saluran Bungo di Wilayah Oita,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut  laporan media, rakyat Malaysia yang sedang berada di sana sudah mula membuat persiapan termasuk mendapatkan bekalan makanan, air, peralatan perhubungan dan kit keselamatan.

Mengikut fakta, Jepun akan mengalami sekitar 1,500 gempa bumi yang kebanyakannya hanyalah gegaran kecil setiap tahun.

Namun begitu, kejadian kali ini tidak diduga kerana gempa bumi berskala besar diramalkan berlaku dalam tempoh 30 tahun lagi.

“Oleh itu, penduduk di kawasan terbabit tetap diminta bersedia dan bersiap siaga bagi sebarang situasi yang tidak boleh dijangka.

“Semoga Allah melindungi rakyat Malaysia di sana daripada bencana ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -