
HANG TUAH JAYA: Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Muhamat Puhat Bedol yang meninggal dunia kelmarin disifatkan sebagai kesedihan berganda kepada PAS negeri ini.
Pesuruhjaya PAS Melaka Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, ia disebabkan mereka baru sahaja kehilangan seorang tokoh ulama negeri ini iaitu Allahyarham Tuan Guru Jaliluddin Abdul Wahid.
“Baru-baru ini kita kehilangan Tuan Guru Haji Jaliluddin Haji Abdul Wahid. Hari ini kita kehilangan sahabat kita Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Melaka, Allahyarham Muhamat Puhat.
“Insya-Allah (walaupun kehilangan tokoh pimpinan), akan sentiasa lahir pelapis yang baik yang akan meneruskan perjuangan ini,” ujarnya sewaktu usai pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Bidadari MAIM di Ayer Keroh, di sini kelmarin.
Tambah Tuan Guru Zulkifli, beliau difahamkan bahawa Allahyarham sebelum itu mempunyai jadual yang amat padat di dalam memenuhi tanggungjawab dan agenda perjuangan Islam ini.
“Semalam (Allahyarham) bersama-sama dengan saya dalam program Ijtimak Tarbawi. Yang ditakdirkan Allah beliau dijemput oleh Allah SWT di sebelah pagi tadi. Kita menyaksikan bahawa beliau adalah seorang ahli yang komited dan mempunyai keperibadian yang sangat mulia.
“Justeru itulah semua yang hadir dan semua yang mendengar berita kematian beliau itu merasa di dalam hati mereka perasaan sedih kerana kasih kepada beliau,” kata beliau lagi.
Tambahnya, perkara itu harus menjadi contoh kepada semua aktivis PAS Melaka supaya dapat mengikuti peribadi dan akhlak mulia dan komitmen tinggi yang Allahyarham tunjukkan dalam membantu perjuangan Islam.
“Saya berharap keluarganya yang ditinggalkan, anak dan isterinya tabah menghadapi ujian ini dan meneruskan langkah-langkah beliau sebagai anak-anak soleh yang menjadi kebanggaan kepada beliau nanti di hari akhirat kelak
“Saya berharap seluruh ahli PAS agar meneruskan perjuangan dengan bersungguh-sungguh dan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan dalam dalam melaksanakan perjuangan Islam ini sebagaimana yang telah dicontohi oleh Allahyarham,” kata beliau.
Terdahulu jenazah Allahyarham Puhat disembahyangkan oleh lebih 200 ahli jemaah di Surau Al Ikhlas, Taman Jati, berhampiran lokasi kediaman beliau.
Antara yang turut menyembahyangkan jenazah beliau ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Kamarol Ridzuan Md Zain dan Yang Dipertua PAS Kawasan Ledang Johor, Ustaz Rahmat Daud.
Allahyarham Puhat, 55, meninggal dunia akibat serangan jantung sewaktu mengambil bahagian dalam acara futsal persahabatan bersama ibu bapa dan Ahli Jawatankuasa PASTI Melaka pada kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring pelajar institusi itu peringkat negeri.
Allahyarham dikejarkan ke Hospital Melaka dan disahkan meninggal dunia di situ setelah rebah sewaktu bermain futsal dalam program itu yang berlangsung di Kompleks Sukan Batu Berendam pada Ahad pagi. – HARAKAHDAILY 13/8/2024











