331 pemain sertai Kejohanan Badminton di Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Seramai 331 pemain badminton dari seluruh negara  menyertai Kejohanan Badminton Malaysia Junior International Challenge 2024 yang berlangsung di Dewan Wawasan 2020, di sini dari 6 Ogos lalu dan berakhir kelmarin.

- Advertisement -

Kejohanan selama enam hari itu menarik penyertaan pemain dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan, Ireland, Kanada, Kazakhstan, Azerbaijan, England dan Iran.

Pertandingan ini menjadi platform penting bagi para pemain muda untuk menunjukkan bakat mereka di peringkat antarabangsa dan pada masa yang sama mengeratkan hubungan persahabatan antara negara melalui sukan.

Majlis penyampaian hadiah diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Russele Eizan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Yang Zaimey Yang Ghazali.

Keputusan kejohanan menyaksikan pemain daripada Korea, Lee Hyeong Woo dan Cheon Hye In menjuarai acara beregu campuran, manakala naib juara disandang pemain Malaysia, Nicolas Tan dan Wee Yee Tern.

Pemain Korea malah turut mendominasi acara beregu wanita apabila pasangan Cheon Hye In dan Kim Tae Yeon serta Kim Min Ji dan Kim So Hee masing-masing menjadi juara dan naib juara.

Pun begitu, pemain Malaysia mengungguli acara beregu lelaki apabila pasangan Muhammad Faiq dan Lok Hong Quan muncul juara menewaskan Isyraf Hafizin dan Ahmad Redzuan untuk berada sebagai naib juara.

Korea bagaimanapun menunjukkan penguasaan mereka menawan kejohanan apabila pemain mereka Kim Do Yeon dan Kim Min Ji masing-masing juara dan naib juara dalam perseorangan wanita.

Manakala acara perseorangan lelaki dijuarai Choh Yeon Woo yang menewaskan Yang Byeong Geon untuk naib juara. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -