
PASIR GUDANG: Ketua Muslimat PAS Johor, Zakiah Tukirin, berkesempatan menyantuni keluarga mangsa pembunuhan kejam, Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di sini.
Turut bersama dalam pertemuan dengan keluarga mangsa pada petang semalam itu ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, Normaya Salam
“Tak apalah jika tak jumpa yang lain (anggota badan), yang penting boleh sempurnakan pengebumian arwah,” luah ibu mangsa.
Keluarga Cikgu Istiqomah juga berkata, sejak mangsa dilaporkan hilang, mereka sudah mula reda namun ikhtiar mencarinya terus dilakukan selepas DNA mayat yang dijumpai awal tahun ini sepadan dengan ibu mangsa.
Dalam pada itu, suaminya Mohd Yusof Mokhtar, 35, berkali-kali menegaskan yang suspek bukan bekas teman lelaki mangsa seperti yang disebarkan di media.
“Dia (mangsa) maut di tangan rakan perniagaannya, bukan teman lelakinya,” tegas suami Cikgu Istiqomah.
Sehubungan itu, keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa selepas selesai proses forensik di Hospital Melaka, jenazah akan dibawa ke Pasir Mas, Kelantan bagi urusan pengebumian.
Justeru, Dewan Muslimat PAS Negeri Johor dalam kenyataannya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Aamin,” katanya.
Terdahulu, polis telah menahan seorang kenalan lelaki Cikgu Istiqamah ketika sama-sama belajar di universiti disyaki menjadi dalang pembunuhan mangsa, yang mayatnya ditemui tanpa kepala dalam tong sampah di longkang tepi Jalan Alor-Gajah-Tampin berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang di sini pada 31 Disember lalu oleh orang awam.
Suspek yang juga bekas guru sebelum berhenti menjadi pedagang mata wang asing (Forex), dipercayai mempunyai urusan berkaitan pelaburan Forex dengan mangsa yang bertugas di Sekolah Kota Masai 3 dekat Pasir Gudang, Johor, yang dilaporkan hilang keluarganya sejak 26 Disember 2023.
Sehari kemudian, kereta milik mangsa yang juga ibu kepada tiga cahaya mata, dijumpai di kawasan pasar raya Lotus Kota Masai, Pasir Gudang, jam 2 petang.
Hasil siasatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan Bahagian Data Bank/DNA (D13), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ke atas ibu mangsa, yang dijalankan pada 2 Ogos 2024 kemudian mendapati DNA wanita terbabit adalah sepadan dengan sampel diambil daripada mayat tidak lengkap dan tanpa identiti itu.
Polis kemudian mengumumkan identiti mayat wanita ditemui tanpa kepala dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33, lalu membawa kepada penahanan sepasang suami isteri di Chemor, Perak sebelum ditahan reman pada 6 Ogos. – HARAKAHDAILY 13/8/2024




















