Bakti Siswa curah khidmat ke warga kampung

- Advertisement -

ALOR SETAR: Mahasiswa perlu bersedia menyesuaikan diri bersama masyarakat dan komuniti kampung demi menjadi inspirasi kepada anak kampung masing-masing.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berucap sempena pada program Bakti Siswa Perdana 2024 di Dewan Seri Mentaloon, di sini kelmarin.

Menurutnya lagi, mahasiswa juga digalakkan bersama berkongsi idea serta membantu membangunkan ekonomi masyarakat kampung.

“Anda semua mempunyai idea yang hebat. Gerakkan pasukan turun untuk membantu masyarakat kampung, bukan sekadar pandangan untuk kemajuan.

“Tetapi (gerakkan) juga program-program kemasyarakatan seperti membersih kawasan, semak samun dan sebagainya. Semua itu perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas agar menjadi kenangan yang baik kepada penduduk kampung,” kata beliau.

Dalam pada itu tambah Dr Haim lagi, khidmat seumpama itu pastinya akan menjadi pengalaman luar biasa pada diri semua yang terlibat.

Bakti Siswa itu diadakan selama tujuh hari melibatkan 12 daerah dan juga membabitkan 520 mahasiswa dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang akan menabur bakti di kampung angkat masing-masing.

Sementara itu 13 DUN yang terpilih untuk menjadi kampung angkat, adalah DUN Bandar Baru, Ayer Hitam, Jitra, Sungai Limau, Alor Mengkudu, Pantai Merdeka, Kuala Ketil dan Lunas, termasuk Belantik, Kuah, Kuala Nerang, Tokai dan Bukit Lada.

Dalam pada itu, kata ADUN Jitra tersebut, mahasiswa yang dihantar ke kampung-kampung angkat perlu juga mengadakan program bersama pelajar sekolah serta menjadi inspirasi suntikan semangat kepada mereka.

“Selepas pulang ke universiti nanti, jangan lupa berhubung dan bertanya khabar agar hubungan yang terjalin selama seminggu itu berpanjangan.

“Saya juga berharap kampung yang terpilih sebagai kampung angkat akan berusaha bersama-sama memberi ruang kepada mahasiswa ini untuk menikmati dan merasai pengalaman yang berharga ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berpesan kepada semua mahasiswa yang terlibat agar menjaga tingkah laku dan akhlak, supaya menjadi contoh baik kepada semua.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor itujuga menyaksikan pelancaran penubuhan Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman (MINDA).

Bakti Siswa Perdana itu juga mendapat kerjasama dan sumbangan
Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Niachias FGS dan NT Rubber Seals. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -