
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, telah menyumbang sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) untuk menyokong perbelanjaan pengurusan pejabat, peralatan pejabat, program serta kebajikan ahli-ahlinya.
Beliau berharap sumbangan itu dapat meningkatkan keberkesanan persatuan dalam melaksanakan tugas dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada pesara di Kuala Terengganu.
“PPKM kini mempunyai keahlian seramai 1,449 orang dan aktif menjalankan pelbagai aktiviti untuk pesara di kawasan Kuala Terengganu.
“Peranan persatuan-persatuan dan NGO seperti PPKM untuk menjadi denyut nadi kestabilan kerajaan dalam membekalkan idea-idea positif yang dijana melalui pengalaman lalu sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam, perlu diteruskan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan dalam pertemuan bersama wakil PPKM Cawangan Daerah Kuala Terengganu, yang diwakili oleh Pengerusinya, Haji Abdullah Mamat dan Setiausaha Persatuan, Tengku Rosnani.
Amzad percaya bahawa pengalaman ahli-ahli PPKM dalam pelbagai bidang dapat membantu kerajaan negeri memberikan pandangan yang berguna.
“Tidak kira perjawatan mereka sebagai pegawai takbir di peringkat federal atau negeri, badan berkanun atau guru adalah pengalaman-pengalaman yang penting yang boleh membantu kerajaan negeri dalam memberi pandangan,” katanya.
Amzad turut menyatakan keyakinan terhadap dedikasi ahli-ahli persatuan telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepanjang tempoh mereka berkhidmat dalam kerajaan. – HARAKAHDAILY 13/8/2024




















