Mediator Komuniti pemangkin perpaduan dan pendamai

- Advertisement -

JERAI: Mediator Komuniti diharap sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran menangani pelbagai konflik, serta mencari jalan penyelesaian yang adil dan saksama kepada semua pihak.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berucap demikian pada Pemukiman Mediator Komuniti Negeri Kedah, di sini semalam.

“Sekarang ini kadar peratusan pertumbuhan penduduk di Kedah meningkat 1.3 peratus dari tahun lepas. Ini bermakna pertambahan penduduk akan setiasa berlaku. Perubahan peringkat usia juga akan mengubah pola kehidupan dalam masyarakat.

“Peranan Mediator Komuniti juga akan semakin mencabar sepertimana kata pepatah ‘banyak udang banyak garamnya, ramai orang akan banyak ragamnya’,” kata beliau merasmikan penutupan program itu.

Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi antara satu sama lain, bahkan menambah ilmu dan kemahiran agar memiliki keyakinan menjalankan tanggungjawab di lapangan.

Justeru tambahnya, Mediator Komuniti juga perlu memperkukuhkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan ahli kerana ia merupakan kunci kepada keharmonian, kestabilan dan kemajuan.

“Tanpa perpaduan, negara akan mudah goyang dan terdedah kepada pelbagai ancaman. Malah ahli Mediator juga merupakan penggerak dan pemangkin dalam usaha kerajaan menjayakan perpaduan di akar umbi masyarakat,” tegasnya lagi.

Program selama dua hari yang disertai seramai 20 Mediator Komuniti Negeri Kedah telah berlangsung di Jerai Hill Resort, Gunung Jerai, di sini sejak 11 Ogos kelmarin dan berakhir semalam.

ADUN Bukit Kayu Hitam itu dalam masa sama turut mengakui bahawa tugas sebagai Mediator bukanlah mudah dan memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan keikhlasan yang tinggi.

“Oleh itu program ini diharapkan menjadi penyuntik semangat kepada semua Mediator Komuniti untuk menjalankan tugas sebaiknya,” ujar beliau pada majlis turut dihadiri Pengarah Perpaduan Negeri Kedah, Ahmad Puat Junus.

Mediator Komuniti merupakan penggerak dan pemangkin dalam usaha kerajaan menjayakan perpaduan di peringkat akar umbi, selain sebagai pendamai masyarakat.

Mereka merupakan petugas sukarelawan di mana berfungsi sebagai perantaraan membantu dua pihak yang bertelingkah untuk bekerjasama mencari jalan penyelesaian dan damai serta dipersetujui.

Mediator Komuniti di negeri ini mula ditubuhkan pada 2007 dan setakat ini mempunyai seramai 20 anggota bertauliah setelah mengikuti kursus di bawah Pejabat Perpaduan Negeri.

Keutamaan diberi kepada warganegara dalam kalangan ahli Rukun Tetangga (KRT), terutama para penjawat awam amat digalakkan menyertainya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -