
KUALA LUMPUR: Suspek yang ditahan atas kesalahan menyamar sebagai doktor tiba di Kompleks Mahkamah Sepang kira-kira jam 8.40 pagi tadi, dengan berpakaian lokap berwarna jingga serta diiringi oleh polis dan difahamkan, tiada kelibat ibu atau bapa suspek di pekarangan kompleks mahkamah.
Semalam, tular isu remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana disyaki menceroboh dan menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang dan kemudian direman selama dua hari sehingga esok.
Menurut laporan, perintah reman terhadap remaja tersebut dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Majistret, Sepang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 448 dan 170 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis bagi menyiasat kes ini dan dimaklumkan bahawa ibu bapa suspek sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi membantu siasatan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Yusof, berkata suspek telah ditangkap di lobi HSIS dan turut dirampas sehelai baju scrub dan lanyard hak milik hospital berkenaan.
“Jika sabit dengan kesalahan hukuman bagi menceroboh boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
“Sementara. hukuman bagi menyamar sebagai penjawat awam pemenjaraan dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,”katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
Justeru, beliau menasihatkan orang awam untuk tidak menimbulkan apa-apa spekulasi serta tidak berkongsi berita yang tidak benar berkenaan kejadian ini. – HARAKAHDAILY 9/8/2024




















