Ahli parti Move Forward tubuhkan parti baharu

Natthaphong Ruengpantawut (dua dari kiri) padda pelancaran parti baharu mereka. (FOTO: Nikkei Asia)
- Advertisement -

BANGKOK: Ahli Parti Move Forward yang telah dibubarkan melancarkan parti baharu mereka hari ini dan berikrar untuk meneruskan usaha mereka bagi membawa Thailand ke arah demokrasi.

Parti Move Forward yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum tahun lalu tetapi gagal membentuk kerajaan, telah dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Rabu lalu berhubung kempennya untuk meminda undang-undang ‘lese-majeste’ yang tidak membenarkan fitnah, hinaan, atau mengancam monarki negara itu.

- Advertisement -

Lebih 140 ahli parlimen daripada Move Forward berpindah ke Parti Rakyat baharu, yang kekal sebagai parti pembangkang terbesar di parlimen. Ia melantik Natthaphong Ruengpanyawut, 37, yang merupakan seorang anggota dewan rakyat sebagai ketuanya, lapor Nikkei Asia.

“Kami akan meneruskan apa yang kami cadangkan kepada rakyat Thailand yang membawa kami memenangi pilihan raya tahun lepas,” katanya yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan sains komputer dari Universiti Chulalongkorn.

Keputusan Mahkamah Perlembagaan sebelum ini telah mendapat kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia, termasuk Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia, Pemerhati Hak Asasi Manusia, Peguam Thai untuk Hak Asasi Manusia dan Kesatuan untuk Kebebasan Awam.

Setiausaha Agung Persekutuan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia, Rahman Khan dalam kenyataannya berkata, pembubaran Parti Move Forward telah menyebabkan reputasi antarabangsa Thailand mendapat satu lagi pukulan besar.

“Pembaharuan peruntukan lese-majeste adalah syarat asas untuk melindungi ruang demokrasi dan melaksanakan hak kebebasan bersuara mengikut norma antarabangsa,” katanya.

Walaupun ahli parti Move Forward berikrar untuk memajukan ideologi progresifnya melalui parti baharu itu, pakar politik berkata parti baharu itu sudah berada di laluan yang sukar kerana ahlinya berdepan satu lagi kes undang-undang.

Jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara mendapati terdapat alasan kukuh yang membuktikan terdapat berlakunya pelanggaran terhadap undang-undang lese-majeste itu, ia akan dibawa ke Mahkamah Agung, di mana jika mereka didapati bersalah, mahkamah boleh melarang mereka daripada berpolitik seumur hidup. -Agensi/– HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -