Durian kunyit RM40 sekilo orang tetap cari

- Advertisement -

AIR mani keluar daripada kemuncak nafsu, suami isteri bersetubuhan untuk mendapatkan anak. Maka, lahirlah keturunannya seperti mana yang Allah telah takdirkan sama ada sedikit atau banyak. Inilah asal usul kita.

Tanah pula, jika berharap pada diri kita sahaja, tidak berhasil. Tanah memerlukan air yang Allah ciptakan. Hatta dalam tamadun terdahulu, manusia bergantung hidup kepada air. Oleh sebab itu, pusat penempatan zaman dahulu adalah di tepi sungai.

- Advertisement -

Sebagai contoh, Mesir bergantung kepada Sungai Nil untuk menyuburkan tanah bagi tujuan tanaman. Tamadun China bergantung kepada Sungai Huang He (Sungai Kuning) dan Sungai Yangtze yang kedua-duanya merupakan sungai besar di China. Di India, Mohenjo Daro dan Harappa yang berada di tepi Sungai Ganges.

Masyarakat pada zaman dahulu bertumpu pada sungai. Apabila jalan raya telah dibuat, mereka semakin beralih ke darat. Masyarakat dahulu berfokus kepada pertanian. Mereka tidak pandai teknologi lain selain menanam. Semakin hari semakin berkembang dengan penciptaan alat seperti kapak dan tukul. Kemudian, kemunculan zaman batu, gangsa dan besi.

Sekarang pun semakin maju dengan pelbagai teknologi. Contohnya, jam diperbuat daripada titanium, jadi lebih ringan. Kapal terbang pun bukan 100% diperbuat daripada besi, tetapi ada komposit tertentu daripada bahan-bahan campuran tertentu.

Ilmu teknologi semakin berkembang, tetapi segala bahan ini telah pun Allah sediakan. Kita tidak boleh mencipta sesuatu tanpa bahan. Bahan tersebut tidak dapat kita cipta. Cuma, kita boleh memproses bahan dan membentuknya menjadi sesuatu benda yang kita inginkan.

Contohnya, Allah mencipta minyak yang berada di dalam laut berjuta-juta tahun lamanya. Kalau kita yang menciptanya, bukan boleh terus digunakan sebab makan masa berjuta tahun. Ia tidak berlaku sehari dua. Ia berlaku daripada himpitan bumi di dalam laut. Berlaku proses penyerapan binatang dan tumbuhan yang mati di dalam laut. Semua yang hancur itu akhirnya menghasilkan minyak.

Sama juga dengan berlian. Berlian terhasil daripada tekanan bumi. Di Afrika contohnya, perlu turun jauh ke dalam tanah untuk mendapatkannya. Sekeras-keras berlian, ia boleh memotong besi, simen dan cermin. Proses ini memakan masa berjuta tahun, bukan sehari dua. Inilah kuasa kebesaran Allah yang mencipta semua ini untuk kegunaan manusia.

Mutiara, untuk mendapatkannya perlu turun jauh ke dasar laut. Sebab ia bernilai. Jadi, kita pun begitu. Jika nak orang cari, kita perlu berharga mahal. Bukan seperti buah rambutan yang telah kecut dan lembik berair, orang berasa geli dan tidak mahu membelinya walaupun dijual dengan harga yang murah. Tetapi, walaupun durian kunyit yang berharga RM40 sekilo, orang sanggup turun ke Kuala Krai untuk mencarinya sebab puas hati.

‎ذَ ٰ⁠لِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡحَقُّ وَأَنَّهُۥ یُحۡیِ ٱلۡمَوۡتَىٰ وَأَنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ قَدِیرࣨ
Maksudnya: (Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Hajj: 6)

Dengan perkara-perkara di atas, Allah nak kita tahu bahawa Dialah sebenarnya yang perlu kita sembah. Bukan berhala, tokong, objek ataupun manusia tetapi Allah SWT. Sebab semua ini tidak dapat berbuat apa-apa.

Allah jualah menghidupkan orang yang telah meninggal dan Dia Maha Berkuasa atas segala-galanya. Dua bukti ini sudah pun mencukupi bagi kita. Sebab Dia yang mencipta kita, memberi kehidupan dan rezeki yang kita perlukan. – HARAKAHDAILY 9/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -