Terus bergerak jalankan kerja parti untuk perkuat PAS

Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah (berjubah) dan ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh (kanan) memberikan isyarat bagus selepas merasmikan Pelancaran Keluarga Ahli PAS DUN Kuala Berang.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Dalam membangunkan sebuah organisasi yang baik, peranan pemimpin dalam menguruskan organisasi merupakan faktor yang penting,” kata Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.

- Advertisement -

Menurutnya, faktor penting selain daripada itu juga ialah adanya sokongan yang baik daripada penggerak kerja.

“Begitu juga dalam politik. Bagi terus memantapkan organisasi, kita memerlukan seramai mungkin ahli di bawah untuk terus bergerak menjalankan kerja-kerja parti sekali gus memperkuatkan parti,” ujarnya dalam hantaran di media sosial beliau.

Beliau menyatakan demikian susulan menyempurnakan program Pelancaran Keluarga Ahli PAS DUN Kuala Berang, Hulu Terengganu, malam tadi.

“Setiap ahli PAS perlu bertindak sebagai contoh yang baik bagi mendekatkan masyarakat bersama PAS bermula dari peringkat keluarga, insya-Allah,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri.

Sementara itu, ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh pula berkata banyak mesej yang penting disampaikan oleh Wan Sukairi kepada ahli PAS di DUN itu.

“Salah satu mesej penting, kita kena pastikan ahli keluarga kita ni mendaftar sebagai ahli PAS.

“Kemudian kita ajak pula orang luar untuk bersama dengan perjuangan yang dibawa oleh PAS,” katanya.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau berkata mengajak bukan mudah tetapi memerlukan pengorbanan yang tinggi.

“Insya-Allah cawangan yang paling berjaya mendaftarkan ahli PAS paling ramai kita akan bagi hadiah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/8/2024 

- Advertisement -