Tangani ketidakpastian ekonomi dengan bijak, berhemah

Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu telah melancarkan beberapa inisiatif strategik untuk mengurangkan ketidakpastian ekonomi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tiada penyelesaian mudah untuk masalah itu dan setiap negara mempunyai cabarannya sendiri. 

“Kita perlu menilai setiap negara secara individu dan mengutamakan masalah mana yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. 

- Advertisement -

“Kerjasama antara kerajaan, pembangkang, pedagang, ahli ekonomi dan masyarakat sivil sangat penting dalam mencari penyelesaian yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, di Terengganu antara inisiatif yang dilaksanakan ialah projek tenaga, pelancongan lestari, sokongan usahawan tempatan, peningkatan pendidikan dan infrastruktur.

“Projek tenaga menjadikan Terengganu sebagai hab tenaga bersih dan lestari melalui pembinaan ladang tenaga suria terbesar di Malaysia. 

“Pelancongan lestari pula mempromosikan eko-pelancongan dan pemuliharaan alam semula jadi serta warisan budaya kita.

“Inisiatif sokongan usahawan tempatan melalui program pinjaman mikro, latihan perniagaan dan rangkaian perdagangan untuk menggalakkan pembangunan perniagaan kecil dan sederhana. 

“Inisiatif peningkatan pendidikan adalah program untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan vokasional. Manakala infrastruktur pula untuk pembangunan jalan raya, pengangkutan awam dan bekalan air bersih,” katanya.

Samsuri berharap melalui usaha-usaha itu, Terengganu dapat mewujudkan sebuah negeri yang lebih mampan dan berdaya tahan. 

“Ketidakpastian adalah kenyataan yang tidak dapat dielakkan, tetapi kita mesti bersedia untuk menghadapi dan menanganinya dengan bijak dan berhemah,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -