
ADA seorang pemimpin yang terkenal bernama Al-Muhallab pada zaman Kerajaan Umaiyyah. Ramai orang gerun dengannya.
Suatu hari dia berjalan dengan penuh bongkak lalu ditegur oleh seorang Ulama besar Malik Bin Dinar bahawa cara berjalan itu dimurkai oleh Allah. Dia lalu membalas dengan bertanya, kamu tak kenal ke siapa aku? Malik bin Dinar berkata:
أولك نطفة مذرة ، وآخرك جيفة قذرة ، وأنت فيما بين ذلك تحمل العذرة
Maksudnya “Asal-usulmu adalah setitis mani yang hina. Hujung akhirmu adalah bangkai yang busuk. Tengah-tengahnya adalah hanya bawa tahi.” (Rujuk Siyar A’alam an-Nubala’ oleh Imam Az-Zahabi, Jilid 5 / Halaman 362).
Tiada bangkai yang lebih busuk daripada bangkai manusia. Dalam perut kita ini pula ada tahi. Begitulah hakikat diri kita. Nak kata, inilah hakikat kejadian kita manusia. Hal sebegini harus diingati supaya kita tidak lupa diri dalam kehidupan dunia.
Dalam satu riwayat, Nabi pernah melalui pasar di bandar Madinah. Baginda menemui bangkai kambing yang terpotong telinga. Nabi menawarkan kepada sahabat untuk membeli atau mengambil bangkai tersebut. Para sahabat mengatakan bahawa bangkai tersebut tiada nilai di sisi mereka. Nabi bersabda, “Dunia itu lebih hina di sisi Allah berbanding bangkai ini kepada kamu.” (Rujuk Riwayat Muslim: 2957)
Sebab itu Nabi bersabda kepada kita:
أَكثروا ذِكرَ هاذمِ اللَّذَّات يعني الموتَ
Maksudnya: Perbanyakkanlah mengingati benda yang menghilangkan kenikmatan iaitu mengingati mati. (Rujuk Riwayat Tirmizi: 2307).
Mati merupakan antara cara kita ‘brek’ dalam hidup. Tiada orang yang tiada nafsu. Nafsu kena ada ‘brek’nya.
Jalan raya ada had laju. Walaupun speedometer kereta kita adalah 240 km sejam, tetapi had laju jalan raya hanya 120 km sejam. Jadi, janganlah menurut meter kereta.
Walaupun berkemampuan dan kuat untuk beristeri seramai 8 hingga 9 orang, tetapi janganlah langgar kerana 4 orang isteri adalah had ‘limit’nya. Jika kita sentiasa mematuhi had laju, tiadalah saman. – HARAKAHDAILY 8/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















