Sungai Muda beri manfaat untuk tiga negeri Utara

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah bertindak melepaskan 10 juta meter padu air ke Sungai Muda merupakan langkah terbaik bagi memastikan paras air di sungai itu stabil berikutan mengalami penyusutan agak ketara.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Kedah Sejahtera (YKS), Hafiz Mansor berkata, langkah itu bagi memastikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dapat beroperasi dengan baik untuk agihan air terawat ke 462,000 pengguna di seluruh Seberang Perai serta sebahagian di Daerah Timur Laut dan Barat Daya, Pulau Pinang.

“Pelepasan air daripada Empangan Beris ini ke Sungai Muda ini  dilakukan hampir setiap tahun untuk kegunaan seharian penduduk di Kedah dan jirannya, Pulau Pinang. Pada 2019, pelepasan air dilakukan dua kali dengan jumlah 66.8 juta meter padu air.

“Tahun 2020, pula tujuh kali sebanyak, 162,478,628 juta meter padu air, manakala pada tahun berikutnya (2021) pula sebanyak 10.9 juta meter padu,” jelas beliau pada kenyataannya di sini.

Semua kerja-kerja berkenaan katanya, dilaksanakan dengan seliaan Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM).

Sementara kata Hafiz lagi, Perbadanan Air Pulau Pinang (PBAPP) pula mengambil langkah melepaskan air daripada Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) setelah berlaku penyusutan paras air Sungai Muda khususnya membabitkan di muka sauk PBAPP di Lahar Tiang.

Tambahnya, ternyata Sungai Muda yang terpanjang di Kedah iaitu 178 kilometer bukan sahaja membekalkan air di Kedah sebaliknya membantu  pengairan penanaman padi serta kegunaan domestik di dua negeri jiran lain, Perlis dan Pulau Pinang.

“Kedudukannya juga merentasi beberapa daerah di Kedah dan sebahagiannya merentasi Seberang Perai Utara.

“Malah data daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) juga menunjukkan Sungai Muda menyumbang sekitar 84 peratus air daripada keseluruhan bekalan air bagi kegunaan penduduk di Pulau Pinang,” tegas beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, tambah beliau, Empangan Muda dibina sebagai ‘buffer zone’ iaitu suatu kolam takungan air, berperanan menyalurkan air kepada Empangan Pedu melalui Terowong Saiong bagi kegunaan pengairan tanaman padi di bawah jagaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Oleh itu kebimbangan terhadap paras air yang kritikal di Empangan Muda ketika ini adalah kerana empangan ini juga membekalkan air ke Sungai Muda sama seperti Empangan Beris khususnya di bahagian hulu sungai.

“Malah dengan fenomena cuaca panas yang dijangka sehingga penghujung September depan serta taburan hujan yang rendah, paras takungan simpanan air di Empangan Muda menyusut dengan ketara,” ujarnya lagi.

Justeru itu berdasarkan pemerhatian pada 6 Ogos lalu, jelasnya, paras air di Empangan Muda berada pada paras 7.44 peratus manakala Empangan Pedu dan Empangan Ahning masing-masing 37.02 peratus dan 81.02 peratus.

Paras terendah yang pernah dicapai di Empangan Muda sebelum ini katanya adalah 2.7 peratus yang dicatatkan sekitar tahun 1978 dan pembenihan awan telah dilakukan di beberapa kawasan sebagai usaha mengatasinya.

Sungguhpun demikian beliau menambah, paras air di Sungai Muda buat masa ini masih stabil dan cukup untuk menampung keperluan domestik dan industri termasuk kegunaan pengairan tanaman padi dalam kawasan Muda sendiri.

“Keadaan yang berlaku ini menggambarkan betapa pentingnya langkah untuk memelihara serta memulihara kelestarian Sungai Muda yang besar manfaatnya kepada bukan sahaja penduduk di Negeri Kedah, bahkan juga Pulau Pinang dan Perlis.

“Usaha itu termasuklah dalam aspek menstabilkan paras air sungai ini harus digembleng dengan rasa tanggungjawab demi kepentingan bersama. Tidak wajar bebanan sebesar ini dipikul oleh satu pihak semata-mata,” tegasnya. – HARAKAHDAILY  8/8/2024

- Advertisement -